
PETRA JAYA: Pengeluaran gas pertama dijangka bermula dari medan luar pesisir PC4 dan Salbiah di Bintulu susulan perkembangan beberapa projek utama minyak dan gas negeri.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, empat projek utama kini sedang bergerak ke arah Keputusan Pelaburan Akhir melibatkan aktiviti penggerudian, penerokaan dan pembangunan tahun ini.
“Pelaburan melebihi RM10 bilion itu penting bagi menjamin keselamatan tenaga jangka panjang serta menyokong agenda perindustrian Sarawak.
“Sarawak turut meneruskan pembangunan projek berdaya maju menerusi Pelan Hala Tuju Gas Sarawak yang dijangka menjadi pemangkin pelaburan sehingga RM300 bilion dan mewujudkan sehingga 180,000 peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, berkata Hab Rendah Karbon Kuching dirancang sebagai ekosistem industri rendah karbon bersepadu.
“Ini melibatkan pembangunan sumber huluan, pengurusan karbon, penjanaan kuasa gas asli cecair, pemprosesan hiliran serta pembangunan taman perindustrian.
“Inisiatif ini turut disokong infrastruktur penting termasuk terminal gas dan pelabuhan laut dalam,” jelasnya.
Tambah beliau, Petros juga telah menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat antarabangsa termasuk Kumpulan Kerjasama Ekonomi dan Teknikal Antarabangsa Jiangsu China dan Perbadanan Sumitomo.
“Kerjasama itu telah menghasilkan beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan potensi pelaburan sehingga RM30 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Dalam sektor huluan, Petros kini terlibat dalam 20 Kontrak Perkongsian Pengeluaran meliputi kawasan luar pesisir dan daratan bersama rakan domestik serta antarabangsa.
“Di Miri, medan Adong Kechil West di bawah Kontrak Petroleum SK433 dijangka mencapai pengeluaran minyak pertama pada suku ketiga 2026 diikuti pengeluaran gas pertama pada 2027,” tambah nya.
Mengulas lanjut, Petros turut melengkapkan program Graviti Tensor Penuh yang dipertingkatkan pada Disember 2025 bagi menyokong aktiviti penggerudian dan pembangunan sumber pada masa depan.
“Selain itu, kajian bersama Pertubuhan Jepun bagi Logam dan Keselamatan Tenaga di kawasan Mukah dan Balingian mengenal pasti dua kawasan berpotensi tinggi untuk pemerolehan data seismik lanjut yang dijadualkan pada 2027.
“Di Bahagian Limbang pula, kajian tambahan menggunakan data graviti dan data seismik yang diproses semula dijangka membantu membuka peluang penerokaan baharu di utara Sarawak,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah