

PETRA JAYA: Pelan transformasi Mahkamah Bumiputera Sarawak kini memasuki fasa penting apabila pindaan undang-undang sedang dirangka sebelum dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memperkukuh struktur dan bidang kuasa mahkamah adat negeri itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata kajian bagi menstruktur semula dan menaik taraf Mahkamah Bumiputera Sarawak telah dimulakan pada 2020 dan siap pada Februari 2023.
“Laporan akhir kajian tersebut telah dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Julai 2023, yang seterusnya meluluskan secara dasar pelaksanaan “Pelan Induk Transformasi Mahkamah Bumiputera Sarawak”.
“Berdasarkan pelan induk ini, Mahkamah Bumiputera Sarawak akan melalui proses pindaan kepada Ordinan Mahkamah Anak Negeri 1992,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wilson Nyabong Ijang (GPS-Pelagus) di sidang DUN Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini.
“Ordinan sedia ada perlu dimansuhkan dan digantikan dengan Ordinan Mahkamah Bumiputera yang baharu bagi membolehkan penstrukturan semula dilaksanakan,” tambahnya.
Jelasnya, Rang Undang-Undang Mahkamah Bumiputera baharu sedang dirangka sebelum dibentangkan untuk kelulusan di DUN.
Tambah beliau, penstrukturan semula itu akan melibatkan perubahan dalam struktur pentadbiran serta bidang kuasa Mahkamah Bumiputera Sarawak.
Oleh Adele Rissa