DUN: Mong Dagang gesa projek Jalan Pantu–Keranggas diteruskan

Facebook
WhatsApp
DATUK Mong Dagang ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2027, dengan menggesa projek menaik taraf Jalan Pantu–Keranggas/Jalan Engkeranji diteruskan bagi meningkatkan akses penduduk luar bandar serta menyokong pembangunan pelancongan di Taman Negara Gunung Lesong.

PETRA JAYA, 16 Oktober: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang menggesa projek Jalan Pantu–Keranggas diteruskan bagi memastikan penduduk luar bandar mendapat akses jalan raya yang lebih baik.

Jelasnya, projek di bawah pembiayaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu telah melalui proses panggilan tender pada 2024, namun dimaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak pada awal 2026 bahawa projek berkenaan dibatalkan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan Sarawak mengambil alih pelaksanaan projek berkenaan memandangkan status kesinambungannya di bawah Kerajaan Persekutuan masih tidak jelas.

Menurutnya, jalan itu penting untuk menghubungkan 15 rumah panjang dan dua sekolah rendah di kawasan sekitar Taman Negara Gunung Lesong.

Beliau berkata, kawasan berkenaan turut mempunyai potensi pelancongan berikutan kekayaan flora dan fauna, termasuk kehadiran orang utan.

Malah, Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) telah memperuntukkan dana bagi membangunkan kompleks pelancongan di Taman Negara Gunung Lesong.

Katanya, kemudahan jalan raya yang baik penting bagi menyokong pembangunan kawasan itu sebagai destinasi pelancongan di Bahagian Sri Aman, selain memudahkan pergerakan penduduk setempat.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Sarawak 2027 pada Persidangan Kedua bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19.

Oleh Afiq Sallehi