KUCHING: Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak mencatatkan jumlah jualan melebihi RM17 juta sehingga Oktober tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, jumlah jualan itu melebihi sasaran awal jualan RM15.5 juta.
“Industri Kraftangan Malaysia mengalami penguncupan yang drastik dalam tempoh pandemik Covid-19. Jumlah jualan pada 2021 ialah RM197.7 juta, berbanding RM519.7 juta pada 2019. Bagi 2022, RM211 juta jualan dicatatkan setakat September.
“Di Sarawak, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak melaporkan jumlah jualan bagi 2019 ialah RM31 juta berbanding RM15.7 juta pada 2021, dengan kira-kira 15 peratus daripada jumlah itu daripada jualan dalam talian.
“Bagi 2022, sasaran jualan ialah RM15.5 juta dan sehingga Oktober 2022, jumlah jualan melebihi RM17 juta. Bilangan pengeluar sepenuh masa yang berdaftar juga telah meningkat daripada 951 pada 2019 kepada 1143 pada 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Abdul Karim berkata kementeriannya melalui Majlis Kraf Sarawak dan agensi lain berkaitan pembangunan kraftangan telah menghasilkan strategi komprehensif di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS-2030).
Katanya, inisiatif lain ialah menganjur kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, agensi dan pihak berkepentingan lain.
Ini termasuk menjadualkan bazar kraftangan di seluruh negeri untuk mewujudkan peluang kepada pengeluar kraftangan mempromosikan dan menjual produk mereka dan untuk menganjurkan program pembinaan kapasiti bagi meningkatkan kemahiran pengeluaran, kualiti produk dan minat dalam industri.
“Selain itu, untuk bekerjasama rapat dengan agensi lain, pertubuhan bukan kerajaan dan individu di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa dalam membangun dan mempromosikan produk kraf berkualiti tinggi ke pasaran global.
“Di samping bekerjasama dengan agensi dan individu lain untuk mereka bentuk dan menghasilkan produk kraftangan baharu bagi meningkatkan rangkaian produk kraftangan Sarawak,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN