BIASANYA kalau kita melihat waktu September ini memang mempunyai makna penting tersendiri dalam sejarah Sarawak. Ini kerana pada bulan inilah Sarawak mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia.
Selain peristiwa bersejarah itu, sebenarnya September menyimpan sejarah Sarawak yang unik. Ini kerana September memulakan penguasaan kuasa Barat di Sarawak. Pada bulan ini seorang warganegara British iaitu James Brooke menjadi raja dan mentadbir Sarawak.
Maka bermulalah era pemerintahan keluarga Brooke di Sarawak, walaupun beberapa kuasa besar dunia pada ketika itu seperti Amerika Syarikat dan British pernah mengiktiraf Sarawak sebagai sebuah negara merdeka.
Keadaan ini berlaku kerana dasar dan pentadbiran negeri sepenuhnya ditentukan dan diatur oleh keluarga Brooke, bukannya oleh rakyat tempatan Sarawak.
Pemberontakan
Pemerintahan keluarga Brooke bermula apabila berlakunya kekacauan di Sarawak Lama. Wilayah Sarawak Lama tidak boleh disamakan dengan wilayah Sarawak pada hari ini kerana ia hanya meliputi kawasan kecil di sekitar Sungai Sarawak.
Kawasan tersebut merangkumi jajaran dari Tanjung Datu hingga ke Sungai Sadong, termasuklah beberapa lokasi seperti Lundu, Sematan, Siniawan, Santubong, Kuching dan beberapa perkampungan lain di sepanjang Sungai Sarawak hingga Sungai Sadong.

Sementara itu, kekacauan yang berlaku merupakan pemberontakan penduduk tempatan terhadap pemerintahan wakil Kesultanan Brunei, iaitu Pengiran Mahkota. Pemberontakan ini berpunca daripada beberapa faktor, seperti penindasan Pengiran Mahkota ke atas penduduk tempatan yang dipaksa melombong antimoni, persaingan untuk mendapatkan hak perlombongan antimoni di Bau, dan tindakan melucutkan peranan dan pengaruh pembesar tempatan di Sarawak.
Pemberontakan ini gagal diselesaikan oleh Pengiran Mahkota, dan Sultan Brunei menghantar Pengiran Muda Hashim untuk membantu menyelesaikan masalah ini. Namun beliau juga gagal dalam menyelesaikan hal ini.
Ketika itu juga pengembara Inggersi bernama James Brooke sampai ke Sarawak untuk menyampai surat terima kasih daripada Gabenor Negeri-negeri Selat kepada Pengiran Muda Hashim yang membantu kelasi kapal British yang karam di muara Sungai Sarawak.
Bermula disini lah Pengiran Muda Hashim meminta James Brooke untuk membantu beliau menghampuskan pemberontakan di Sarawak.
Pengiktirafan
Pada awalnya James Brooke menolak permintaan ini. Kemudian beliau bersetuju apabila Pengiran Muda Hahsim mahu menyerahkan Sarawak kepada beliau. Dengan pengikut seramai 10 orang bersama-sama tentera dalam kalangan orang Melayu, Dayak dan Cina telah membuat persiapan untuk menyerang kedudukan pihak pemberontak.
Di pihak pemberontak, mereka juga tahu bahawa seorang pelayar Inggeris berada di Sarawak dan memberi bantuan kepada Pengiran Muda Hahsim untuk menundukkan mereka. Atas sebab itu mereka menggunakan peluang ini untuk mengadakan rundingan dengan James Brooke.
Akhirnya mereka bersetuju menamatkan pemberontakan ini dengan harapan James Brooke dapat membantu mereka. Kejayaan James Brooke ini menyebabkan beliau menuntut janji Pengiran Muda Hashim untuk menyerahkan Sarawak kepada beliau. Tekanan tersebut akhirnya memaksa Pengiran Muda Hashim bersetuju menyerahkan pentadbiran Sarawak kepada James Brooke pada 24 September 1841.
James Brooke kemudiannya memulakan pemerintahan dinasti keluarga Brooke yang berlanjutan selama hampir 100 tahun. Di sinilah signifikan bulan September, kerana ia menandakan bermulanya campur tangan kuasa asing secara rasmi di Sarawak.
Bom atom
Bulan September juga satu bulan penting yang boleh dikaitkan dengan pendudukan Jepun di Sarawak. Walaupun Jepun menyerang Sarawak pada Disember 1941 dan berterusan sehingga Januari 1942 tetapi terdapat satu tarikh penting dalam bulan September yang mengukir makna sejarah di Sarawak.
Tarikh bersejarah tersebut adalah pada 11 September 1945, apabila tentera Jepun menyerah kalah kepada tentera Australia yang berjaya menumpaskan mereka. Walaupun dua bom atom telah digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki pada Ogos 1945, proses penyerahan kalah tentera Jepun tidak berlaku serta merta.
Ia bermula dengan Maharaja Hirohito membuat pengisytiharan menyerah kalah menerusi siaran radio kepada rakyat Jepun dan sekutu. Upacara menyerah kalah hanya berlangsung pada 2 September 1945 di atas kapal perang Amerika Syarikat, USS Missouri, yang berlabuh di Teluk Tokyo.
Upacara menandatangani perjanjian tersebut tidak berlaku serentak dengan penyerahan kalah tentera Jepun di wilayah-wilayah yang didudukinya.
Sarawak, sebagai contoh, hanya menyaksikan upacara penyerahan kalah ini sembilan hari selepas dokumen penyerahan kalah Jepun ditandatangani di atas kapal USS Missouri.
Penyerahan
Peristiwa tersebut berlaku pada jam 2 petang di kapal HMAS Kapunda yang berlabuh di Pending. Tentera Australia ketika itu diketuai Brigadier Jeneral Thomas Eastick.
Namun pegawai tertinggi tentera Jepun yang sepatutnya datang ke atas kapal tersebut iaitu Mejar Jeneral Yamamura pula tidak kunjung tiba. Oleh itu, pihak tentera Australia telah menghantar wakil mereka dengan menggunakan Crash Boat untuk mencari beliau di Kuching.
Wakil tersebut sempat bertemu dengan Ketua Staf, Leftenan Kolonel T. Fujita, yang memaklumkan bahawa Yamamura agak keberatan untuk bertemu dengan Eastrik, namun beliau meminta agar pertemuan tersebut diadakan di tempat beliau.
Tindakan Yamamura ini menyebabkan Eastick mendesak agar beliau hadir juga di atas kapal tersebut. Akhirnya, Yamamura bersama-sama dengan dua orang pembantu penterjemahnya telah hadir di jeti Pending.
Beliau kemudiannya dibawa menggunakan Crash Boat ke kapal HMAS Kapunda.
Di atas kapal tersebut, telah disediakan meja, dokumen penyerahan dan pen bagi upacara penyerahan kalah berkenaan. Eastick telah membacakan dokumen penyerahan kalah di hadapan Yamamura.
Akhirnya, Yamamura menandatangani surat penyerahan kalah tersebut dan menyerahkan pedangnya kepada Eastick.
Hal ini menunjukkan bagaimana berlakunya proses penyerahan kalah pihak Jepun kepada tentera Australia pada bulan September. Namun demikian, kekalahan Jepun tidak serta-merta memerdekakan Sarawak, sebaliknya Sarawak telah dijadikan sebagai tanah jajahan Mahkota British.
Usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kemerdekaan ini akhirnya dapat dilihat menerusi pembentukan Malaysia.
Kebebasan
Cadangan pembentukan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman pada Mei 1961 merupakan satu cadangan yang penuh bermakna kepada pembebasan Sarawak daripada penjajahan British.
Proses pembentukan itu pula menghadapi liku-liku yang cukup mencabar untuk memerdekakan Sarawak.
Apabila semua perkara telah dibincangkan dan dipersetujui, maka tarikh pembentukan Malaysia menjadi persoalan. Ini kerana pada asalnya tarikh yang ditetapkan adalah pada 31 Ogos 1963 tetapi terpaksa ditunda kerana bantahan Indonesia dan Filipina yang mahu agar satu tinjauan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dibuat.
Oleh kerana tinjauan itu mengambil masa, maka pembentukan Malaysia tidak diisytiharkan pada tarikh 31 Ogos 1963. Sebaliknya Malaysia menjelma pada September dan paling tepatnya 16 September 1963.
Jelas disini menunjukkan September menyimpan sejarah yang cukup bermakna bagi Sarawak.
Ia membuka campurtangan Brooke di Sarawak dan ia juga menandakan kekalahan Jepun. Tetapi paling manis lagi ia juga menamatkan penjajahan di Sarawak apabila Malaysia dibentuk.
Dr. Suffian Mansor adalah Pensyarah Kanan, Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.





