DUN: Geran sehingga RM15,000 bantu belia Sarawak mulakan perniagaan

Facebook
WhatsApp
DATUK Dr Ripin Lamat ketika menjawab soalan ADUN Daro, Dr Safiee Ahmad, berhubung bantuan geran dan sokongan keusahawanan belia pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19. Foto UKAS

PETRA JAYA, 16 Oktober: Usahawan belia di Sarawak yang layak boleh memohon bantuan geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu mereka memulakan dan mengembangkan perniagaan.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Ripin Lamat berkata, bantuan berkenaan disediakan tertakluk kepada syarat kelayakan dan kelulusan permohonan.

Menurutnya, kementerian turut menyediakan akses pembiayaan menerusi kemudahan pinjaman mudah berjumlah RM25 juta hasil kerjasama dengan Affin Bank.

“Selain bantuan kewangan, peserta turut diberikan bimbingan dalam aspek pendaftaran dan pelesenan perniagaan, pengurusan kewangan serta penyediaan rancangan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.

Ripin berkata, kementerian turut memperkukuh pembangunan perniagaan pemula belia melalui penubuhan Hab SYStartUP pertama di Sarawak sebagai pusat rujukan, bimbingan dan jaringan perniagaan.

Katanya, sebuah jawatankuasa khas turut ditubuhkan bagi menyelaras penglibatan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam pembangunan perniagaan pemula serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, beliau berkata, antara cabaran utama usahawan belia ialah kelemahan dalam pengurusan kewangan, kekurangan pengalaman serta kesukaran mendapatkan pembiayaan dan akses pasaran.

Menurutnya, penggunaan teknologi dan pemasaran digital yang terhad turut menjejaskan keupayaan usahawan muda untuk mengembangkan perniagaan.

Menyentuh penyertaan belia dalam sektor pertanian dan penternakan, Ripin berkata persepsi terhadap kerja fizikal, modal permulaan yang tinggi serta tempoh pulangan yang panjang menjadi antara faktor golongan itu kurang menceburi bidang berkenaan.

Katanya, kesukaran mendapatkan tanah, kemudahan asas dan teknologi, selain risiko perubahan cuaca serta turun naik harga hasil turut menjadi cabaran.

Bagaimanapun, beliau berkata sektor pertanian dan penternakan mempunyai potensi besar untuk dimajukan secara moden dan komersial melalui penggunaan teknologi, latihan, pembiayaan serta sokongan pemasaran yang bersesuaian.

Oleh Norman B