PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak kini berada pada peringkat akhir kajian terperinci untuk menyelaras gaji dan elaun baharu bagi Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, kali terakhir gaji KMKK diselaraskan oleh kerajaan Sarawak adalah pada 2018, dengan kenaikan sebanyak RM100.
“Kerajaan Sarawak kini berada di peringkat akhir kajian terperinci bagi keperluan penyelarasan gaji dan elaun baharu KMKK.
“Penyelarasan ini dibuat sejajar dengan peranan, tanggungjawab, serta bebanan tugas yang semakin mencabar, selain mengambil kira keadaan ekonomi semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Ketua Masyarakat merujuk kepada pemimpin kawasan tempatan berpangkat Temenggong dan Pemanca, Penghulu, manakala Ketua Kaum pula merujuk kepada pemimpin kawasan tempatan berpangkat Tuai Rumah, Kapitan dan Ketua Kampung.
John Sikie turut menjelaskan bahawa terdapat 671 orang Ketua Masyarakat dan 6,921 orang Ketua Kaum di seluruh Sarawak.
Menurutnya, kerajaan Sarawak juga akan mengkaji Skim Perkhidmatan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum yang sedia ada untuk tujuan penambahbaikan, termasuk keperluan selepas tamat perkhidmatan.
“Kerajaan Sarawak setakat ini telah menerima sebanyak 915 permohonan cadangan pewujudan jawatan baharu KMKK dari semua bahagian di seluruh negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan bahawa pelbagai program pemerkasaan dan pemantapan pemimpin peringkat akar umbi sedang dilaksanakan secara berperingkat melalui Pejabat Residen Bahagian dan Pejabat Daerah.
”Pada 2025, kerajaan Sarawak akan memperkenalkan kursus induksi kepada semua Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum di seluruh negeri ini bagi meningkatkan kompetensi dan kepimpinan KMKK,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal