
PETRA JAYA: Ekonomi Sarawak dijangka berkembang antara 5.0 peratus hingga 6.0 peratus pada 2026, dipacu permintaan domestik yang kukuh serta aktiviti pelaburan berterusan meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sektor perkhidmatan dijangka berkembang 6.4 peratus pada 2025 hasil peningkatan aktiviti pelancongan, hospitaliti dan perjalanan perniagaan.
Katanya, jumlah ketibaan pelawat meningkat kepada 4.97 juta orang pada 2025 berbanding 4.83 juta pada tahun sebelumnya, manakala suku pertama 2026 turut mencatat peningkatan 4.5 peratus kepada 1.2 juta pelawat.
“Pelawat dari Indonesia dan Brunei Darussalam terus menjadi penyumbang utama sektor pelancongan negeri, selain jaringan Lebuh Raya Pan Borneo yang membantu merancakkan pelancongan rentas sempadan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di sini, hari ini.
Menurut beliau, sektor perlombongan dan pengkuarian dijangka berkembang 3.6 peratus pada 2025 disokong projek gas Jerun dan Kasawari serta peningkatan pengeluaran minyak.
Sementara itu, sektor pertanian dijangka berkembang 1.6 peratus dengan pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) meningkat 7.8 peratus hasil produktiviti yang lebih baik.
Beliau berkata sektor pembinaan pula dijangka berkembang 9.4 peratus pada 2025 menerusi pelaksanaan projek infrastruktur utama dan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Dari sudut permintaan, Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua itu berkata Sarawak merekodkan pelaburan pembuatan diluluskan bernilai RM5.9 bilion melibatkan sektor kimia serta elektrik dan elektronik.
Katanya, hampir RM17 bilion dibelanjakan Kerajaan Persekutuan dan Sarawak bagi pembangunan modal pada 2025 untuk memperkukuh infrastruktur dan merancakkan transformasi ekonomi negeri.
Beliau turut memaklumkan bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) diteruskan pada 2026 bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
Oleh Norman B