Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • DUN: ADUN GPS gesa isu air, elektrik dan jalan luar bandar dipercepat
  • TEMPATAN

DUN: ADUN GPS gesa isu air, elektrik dan jalan luar bandar dipercepat

Utusan Sarawak 7 hours ago
WILSON Nyabong Ijang (GPS-Pelagus) ketika membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

PETRA JAYA: Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini menggesa kerajaan mempercepat penyelesaian isu bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya luar bandar yang masih menjadi cabaran utama di beberapa kawasan pedalaman Sarawak.

Wilson Nyabong Ijang (GPS-Pelagus) berkata masih banyak rumah panjang di kawasannya bergantung kepada sistem bekalan air graviti yang sering berdepan masalah pencemaran ketika musim hujan dan kekurangan bekalan ketika musim kemarau.

Menurut beliau, keadaan menjadi lebih serius ketika musim perayaan apabila peningkatan jumlah penghuni menyebabkan sistem sedia ada tidak mampu menampung permintaan.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa peluasan pelaksanaan Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) bagi memastikan lebih banyak rumah panjang mendapat akses kepada bekalan air bersih dan terawat.

DATUK Dennis Ngau (GPS-Telang Usan) ketika membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
 

Datuk Dennis Ngau (GPS-Telang Usan) turut membangkitkan isu sama apabila meminta kerajaan mempercepat pelaksanaan projek SAWAS yang telah diluluskan di beberapa kawasan pedalaman Telang Usan.

Katanya, akses kepada air bersih bukan lagi satu kemewahan tetapi keperluan asas rakyat luar bandar.

“Kita berharap kerajaan memberi perhatian serius supaya projek yang telah diluluskan dapat dilaksanakan segera demi kesejahteraan masyarakat pedalaman,” katanya ketika membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Dalam pada itu, Wilson dan Dennis turut menyentuh isu bekalan elektrik luar bandar termasuk keperluan menaik taraf Sistem Elektrifikasi Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES) kepada sistem solar hibrid yang lebih stabil dan berkapasiti tinggi.

Wilson berkata antara masalah utama di Pelagus ialah gangguan bekalan elektrik dan jangka hayat bateri yang terhad.

Dennis pula berkata sistem solar dan hidrogen hibrid dilihat sebagai penyelesaian terbaik khususnya bagi kawasan pedalaman yang sukar dihubungkan dengan grid utama Sarawak Energy Berhad (SEB).

Sementara itu, Dennis berkata pengambilalihan jalan balak aktif dan bekas jalan balak di Baram di bawah sistem penyelenggaraan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) merupakan langkah penting yang telah lama dinantikan masyarakat pedalaman.

Menurut beliau, jalan tersebut bukan sekadar laluan industri tetapi menjadi laluan utama penduduk untuk menghantar hasil pertanian, mendapatkan rawatan kesihatan dan berhubung dengan pusat ekonomi.

DATUK Ding Kuong Hiing (GPS-Meradong) ketika membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Ding Kuong Hiing (GPS-Meradong) berkata peningkatan mendadak kos bahan binaan turut menjejaskan pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Meradong.

Katanya, peningkatan kos menyebabkan jumlah projek RTP yang dapat dilaksanakan semakin berkurangan termasuk projek jambatan dan jalan pertanian.

“Kos pembinaan jambatan keluli jenis I-beam sepanjang enam meter meningkat daripada sekitar RM70,000 kepada RM225,000 atau lebih 300 peratus,”katanya.

Selain itu, Ding turut berharap pelaksanaan Program Dana Permohonan Lewat Tambahan (ALAF) berkaitan bekalan elektrik dapat dipercepatkan kerana masih terdapat permohonan sejak 2020 yang belum menerima maklum balas.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: DUN: Hak tanah NCR di Balingian perlu diberi perhatian serius
Next: Premier Sarawak terima kunjungan hormat KMKK Bario

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.