PETRA JAYA: Seramai 4,470 pengedar dadah telah ditangkap oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak dengan nilai rampasan dadah berjumlah RM255 juta sejak penubuhan Jawatankuasa Sehenti (OSC) pada 2018.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kerajaan Sarawak akan terus komited untuk menangani isu penyalahgunaan dadah dan substans melalui pelbagai pendekatan termasuk penubuhan OSC.
“Inisiatif ini merupakan model kerjasama strategik antara pelbagai agensi kerajaan dan masyarakat setempat di peringkat akar umbi, bertujuan untuk menangani masalah dadah secara menyeluruh.
“Selain itu, seramai 52,745 pengguna dadah telah dikesan oleh agensi seperti Pusat Sehenti Untuk Ketagihan (OSCA), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), dan PDRM.
“Kerjasama antara agensi-agensi dalam OSC Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) serta pemimpin masyarakat akar umbi juga semakin kukuh dalam usaha menangani isu dadah dan substans di peringkat tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Fatimah berkata pada 8 Oktober 2024, Forum Khas Narkotik yang dianjurkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dengan kerjasama OSC MIDS telah diadakan untuk memperkukuh lagi kerjasama antara agensi penguatkuasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.
“Forum ini menghasilkan beberapa resolusi strategik, antaranya adalah penggunaan teknologi untuk menyekat penyeludupan dadah, penambahan anggota penguatkuasaan, dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih keras dengan kesan lebih menakutkan,” katanya.
Dalam pada itu, Fatimah turut menjelaskan bahawa penempatan Unit Narkotik di peringkat daerah
bagi memantapkan lagi usaha membanteras dadah di peringkat akar umbi, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) telah menempatkan perjawatan sandaran di 13 daerah sejak 2016.
“Daerah pertama yang terlibat adalah Lundu, Marudi, dan Belaga, diikuti dengan Saratok, Simunjan, Meradong, Julau, Matu, Daro, Lubok Antu, Kanowit, dan Dalat.
“Pada 4 November 2024, unit narkotik juga telah diwujudkan di Daerah Song dan Tatau, dengan penempatan pegawai polis secara sandaran di dua daerah tersebut,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal