PETRA JAYA : Kerajaan Sarawak terus komited melindungi hak pembeli rumah yang terjejas akibat projek perumahan bermasalah, termasuk projek tertangguh, sakit dan terbengkalai.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, memaklumkan bahawa kementeriannya telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Projek Perumahan (JKTP) pada Mac 2023 untuk memantau dan menangani isu-isu berkaitan.
“Sehingga kini, terdapat 649 projek perumahan swasta berlesen yang sedang berjalan di Sarawak. Daripada jumlah itu, 43 projek (6.6 perarus) melibatkan 4,837 unit dikenal pasti sebagai projek sakit,” katanya yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Menurut Dr Sim, melalui usaha bersepadu JKTP, 16 projek (37 peratus melibatkan 3,107 unit berjaya diselesaikan, sama ada melalui penyiapan separa atau penuh, pemulihan pembinaan, atau penyelesaian lain.
Katanya, usaha tersebut telah membantu seramai 663 pembeli rumah.
Namun, 27 projek (63 peratus) yang melibatkan 1,730 unit masih dalam pelbagai peringkat pemantauan dan fasilitasi.
“Jumlah projek sakit adalah dinamik, bergantung kepada penyelesaian yang dilaksanakan, termasuk keupayaan pihak terlibat untuk melaksanakan pelan pemulihan,” katanya.
Beliau turut mengakui beberapa cabaran dihadapi kerajaan dalam menangani isu ini, termasuk ketidakstabilan kewangan pemaju, komplikasi undang-undang, dan faktor pasaran seperti gangguan rantaian bekalan serta peningkatan kos bahan binaan.
“Meskipun kerajaan mempunyai batasan sumber dan bidang kuasa dalam campur tangan secara langsung, kami tetap berusaha untuk memantau, menjadi pengantara, dan menyediakan sokongan sebanyak mungkin kepada pembeli rumah yang terjejas,” tambahnya.
Kerajaan Sarawak, kata Dr Sim, akan terus memperkukuhkan pengawasan peraturan, memastikan pemaju bertanggungjawab, dan membantu pembeli rumah yang terkesan akibat kelewatan atau kegagalan pemaju menyiapkan projek perumahan mereka.
Beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan kesejahteraan pembeli rumah sentiasa menjadi keutamaan, di samping memperbaiki sistem perumahan di Sarawak.
Oleh SHAHRUL QAIZAT