PETRA JAYA, 16 Oktober: Sebanyak 422 surat hak milik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar kini sedia diserahkan kepada pemilik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang (GPS-Opar) berkata, setakat 30 September lalu, kerja pengukuran perimeter tanah NCR telah disiapkan melibatkan kawasan seluas 13,154 hektar yang merangkumi 37 kampung.
Menurutnya, bagi pengukuran lot individu pula, sebanyak 714 lot melibatkan kawasan seluas 593 hektar telah selesai diukur.
“Sebanyak enam lagi kawasan seluas 4,454 hektar melibatkan 11 kampung sedang dalam proses pengukuran, dengan 3,554 hektar daripadanya telah siap diukur membabitkan 4,003 lot,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN, hari ini.

Billy berkata, usaha pengukuran dan pendokumentasian tanah NCR akan diteruskan bagi memastikan pemilik tanah memperoleh hak milik yang sah.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan sebanyak 187 projek bernilai RM150 juta telah diluluskan di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Greater Kuching (GKCDA), manakala 170 projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bernilai RM25 juta turut diluluskan di kawasan Opar sepanjang penggal ini.
Katanya, daripada jumlah projek GKCDA itu, sebanyak 42 projek telah siap, 72 sedang dilaksanakan, 66 dalam peringkat perancangan dan perolehan tender, manakala tujuh lagi belum dimulakan.
Beliau turut menyambut baik kelulusan dua projek bekalan air utama di Lundu bernilai keseluruhan RM280 juta, melibatkan pembinaan loji rawatan air baharu di Kampung Sedaing dan sistem pengagihan bekalan air Lundu-Sematan.
Menurutnya, projek berkenaan dijangka meningkatkan bekalan air terawat kepada penduduk di kawasan Opar, Tanjong Datu dan sekitar Lundu.
Sementara itu, Billy berkata, sebanyak 868 rumah di Opar telah menerima bekalan elektrik menerusi program Dana Permohonan Lewat dan Alternatif (ALAF), manakala 237 rumah lagi masih dalam perancangan.
Beliau berharap baki sambungan bekalan elektrik itu dapat dilaksanakan sebelum sambutan Hari Krismas tahun ini bagi membolehkan penduduk menikmati kemudahan asas berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa agensi pelaksana memastikan semua projek pembangunan disiapkan mengikut jadual dan spesifikasi bagi mengelakkan kelewatan yang boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat.
Oleh Norman B



