SIBU: Kawasan Dudong terus menikmati pembangunan pesat dengan kelulusan projek bernilai RM123 juta sejak 2020 hingga 2024.
Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Wong Ching Yong, berkata projek ini meliputi pelbagai inisiatif untuk menaik taraf infrastruktur, memperkukuh sektor pendidikan, dan meningkatkan kesejahteraan komuniti di kawasan tersebut.
“Antara projek utama ialah menaik taraf Jalan Pulau Dudong sepanjang 7.6 kilometer dengan peruntukan RM40 juta, yang diluluskan di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan disokong oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Projek lain termasuk pembinaan SMK Dudong bernilai RM30 juta serta baik pulih 15 Sekolah Kebangsaan dengan peruntukan RM200,000 setiap sekolah,” katanya pada sidang media selepas mengetuai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong dan Sibu Jaya yang mengadakan perkhidmatan kaunter bergerak di Farley Cafe, Jalan Salim, hari ini.
Menurut Wong, usaha ini bukan hanya melibatkan kerajaan, tetapi juga kerjasama pelbagai pihak.
Sebagai contoh, Lee Foundation telah menyumbang RM1.26 juta untuk pembinaan asrama baharu di Sekolah Menengah Persendirian Citizen yang musnah dalam kebakaran pada 2020.
Selain itu, katanya, sebanyak RM12 juta turut diluluskan untuk pinjaman perumahan bagi 22 rumah panjang dalam usaha meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar.
“Kami juga berjaya mendapatkan RM5.8 juta untuk pembinaan Pusat Komuniti dan Kebudayaan Durin, serta bantuan untuk institusi agama seperti Gereja Methodist Wan Ming (RM1 juta) dan Kuil Ta Wang Kong (RM250,000),” tambahnya.
Wong, yang juga Pengerusi SUPP Cawangan Dudong, berharap projek masa depan di Dudong seperti pembinaan kolam renang bertaraf Olimpik di Sibu Jaya dan Taman Pertanian Dudong akan menjadi kenyataan.
Menurutnya, projek-projek ini dirancang untuk meningkatkan potensi pelancongan dan ekonomi tempatan, termasuk pembangunan Pelancongan Sungai Rejang.
Justeru, atas jumlah besar projek dan peruntukan yang disalurkan kepada Dudong bagi kawasan luar bandarnya beliau merakamkan penghargaan kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Sempurai Petrus Ngelai dan Setiausaha MDLBS Ng Siang Wei yang turut membantu kejayaan projek tersebut.
“Ini adalah komitmen saya dan ‘buku Laporan’ semenjak saya dilantik menjadi Timbalan Pengerusi MDLBS pada 10 Ogos 2020.
“Walaupun saya kalah dalam pilihan raya, saya tidak akan berputus asa. Saya percaya perkhidmatan kepada rakyat adalah tanggungjawab yang harus diteruskan.
“Malah, saya tidak henti-henti menulis kepada menteri yang berkaitan, mengunjungi jabatan atau kementerian berkaitan dan tidak pernah berputus asa dalam menghadapi cabaran untuk memastikan RM123 juta dibawa dalam pembangunan ke Dudong tanpa menjadi ADUN atau Ahli Parlimen,” katanya.
Turut hadir, Setiausaha Politik Premier Sarawak William Anut dan Pengerusi SUPP Cawangan Sibu Jaya, Kong Sing Ping.
Oleh Tarani Lanting