MIRI: Surau Hidayatullah dan Surau Darul Mukmin di sini menerima sumbangan dalam bentuk Projek Mesra Rakyat daripada Ahli Parlimen Miri baru-baru ini.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, berkata sumbangan ini diberikan sebagai sebahagian daripada usaha untuk memastikan rumah ibadat umat Islam di Miri sentiasa berada dalam keadaan yang selesa, selamat, dan terpelihara bagi menjalankan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
Menurutnya, sebelum ini, Surau Hidayatullah telah dikenal pasti memerlukan kerja-kerja baik pulih yang kritikal untuk menangani masalah kebocoran bumbung yang sering mengganggu, terutama ketika hujan.
“Tujuan utama kerja-kerja ini adalah untuk meningkatkan keselamatan struktur bangunan serta memastikan jemaah dapat beribadat dalam keadaan yang lebih selesa tanpa gangguan kebocoran atau kerosakan infrastruktur,” katanya.
Selain itu, Surau Darul Mukmin di Kampung Riam Jaya pula telah menerima peruntukan di bawah Projek Mesra Rakyat 2024 sebanyak RM30,000.
“Kesemua kerja telah siap dilaksanakan pada Mac 2025, termasuk pembelian 100 kerusi dan meja baharu, pembinaan bumbung untuk tempat letak kereta, peletakan jubin laluan pejalan kaki, ubah suai bilik mandi menjadi tandas lelaki, serta pembinaan lubang tandas dan tangki septik baru.
“Saya amat berbesar hati apabila projek-projek yang dijalankan dapat menjadikan surau-surau ini lebih kondusif untuk penganjuran pelbagai aktiviti keagamaan, pembelajaran, dan kemasyarakatan bagi penduduk setempat.
“Sebagai Ahli Parlimen Miri, saya amat berharap agar sumbangan dan kerja-kerja baik pulih ini dapat memberi manfaat besar kepada komuniti setempat,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau berharap surau-surau ini akan terus menjadi pusat ibadah yang lebih selesa, bersih, dan selamat, serta terus aktif menjalankan peranan penting sebagai pusat pembangunan rohani dan perpaduan masyarakat.
“Semoga sumbangan yang diberikan ini dapat membantu surau dalam memperkukuh peranannya sebagai pusat penyatuan komuniti, tempat pendidikan agama, serta sebagai mercu tanda keharmonian dan kemajuan masyarakat Islam di Miri,” tegasnya.
Oleh Adum Liu