
KOTA SAMARAHAN: Dua sarang buaya dikesan di kawasan Tanjung Tuang di sini, membabitkan pemindahan sebanyak 42 anak buaya serta 67 biji telur dalam satu operasi khas baru-baru ini.
Operasi tersebut dijalankan oleh pasukan SWAT Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) bersama Sarawak Crocter susulan aduan diterima daripada pekerja Sarawak Energy Berhad (SEB).
Menurut kenyataan, lokasi sarang dikenal pasti berada di kawasan tapak pembinaan tiang elektrik serta ladang milik penduduk.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua sarang buaya di kawasan berkenaan.
“Daripada operasi tersebut, sebanyak 42 anak buaya yang baharu menetas serta 67 biji telur berjaya dikeluarkan,” katanya.

Dalam operasi sama, dua ekor buaya betina dewasa turut berjaya ditangkap dan dipindahkan dari lokasi berkenaan.
Tambah kenyataan itu, tindakan tersebut dilaksanakan sebagai langkah proaktif bagi mengurangkan risiko bahaya kepada pekerja di tapak projek serta komuniti setempat.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terutama ketika berada di kawasan kebun, ladang atau berhampiran habitat semula jadi buaya.

Orang awam juga diingatkan supaya tidak mendekati sarang atau kawasan yang dikesan mempunyai kehadiran reptilia berkenaan, sebaliknya segera melaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Selain itu, orang ramai digalakkan menggunakan aplikasi Sarawak Croc Watch bagi melaporkan sebarang penampakan buaya atau sarang dengan segera.