
KUCHING: Tokoh terkemuka Orang Ulu dan bekas menteri Sarawak Dato Sri Bo’ Tajang Laing, meninggal dunia pada usia 100 tahun.
Perkhabaran duka itu dikongsikan oleh anaknya, Lohong Tajang, menerusi satu hantaran dalam Facebook semalam.
“Pemergian ini merupakan kehilangan besar buat keluarga. Beliau telah menjalani kehidupan yang penuh pengorbanan dan dedikasi kepada keluarga serta masyarakat,” katanya dalam hantaran berkenaan.
Mendiang yang dilahirkan pada 1926 pernah mewakili kawasan Belaga sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan mencipta sejarah apabila menjadi individu pertama daripada komuniti Orang Ulu yang dilantik sebagai menteri penuh dalam pembentukan Kabinet Pertama Sarawak pada 1963.
Sepanjang perjalanan hidupnya, beliau melalui pelbagai fasa penting dalam sejarah negara termasuk era sebelum kemerdekaan serta perkembangan selepas pembentukan Malaysia, di samping terlibat dalam hal berkaitan Perjanjian Malaysia 1963.
Mendiang menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 pada 14 Februari lalu.
Isterinya, Datin Sri Devong Anyie, telah terlebih dahulu meninggal dunia pada April tahun lalu.
Dalam pada itu, cucu saudara mendiang yang juga Senator, Pele Peter Tinggom, menyifatkan jasa dan sumbangan beliau sebagai amat signifikan dalam pembinaan asas pentadbiran negeri.
Menurutnya, peranan yang dimainkan mendiang merangkumi usaha memajukan kawasan luar bandar, memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum serta memperkasa institusi kerajaan negeri.
“Tokoh seperti Dato Sri Tajang Laing wajar dikenang sebagai perintis yang membawa suara rakyat pedalaman dan luar bandar ke peringkat tertinggi pentadbiran negeri,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Oleh Adele Rissa