Dua rumah tidak berpenghuni musnah dalam kebakaran di Kampung Buntal

Facebook
WhatsApp

PETRA JAYA: Dua rumah tidak berpenghuni musnah dalam kebakaran di Jalan Sultan Tengah, Kampung Buntal di sini, petang ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.50 petang.

ANGGOTA bomba menjalankan operasi memadam kebakaran yang memusnahkan dua rumah tidak berpenghuni di Kampung Buntal, hari ini. Foto JBPM.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Buntal digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 14 kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi pada 4.16 petang, didapati kebakaran melibatkan dua rumah berstruktur tidak kekal.

“Sebuah rumah terbakar sepenuhnya, manakala sebuah lagi mengalami kemusnahan kira-kira 80 peratus. Kedua-dua rumah dianggarkan berkeluasan 20 x 10 kaki persegi dan tidak berpenghuni,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran hos gegelung (hosereel) daripada jentera serta dua aliran dengan dua pancutan air daripada pili bomba.

PASUKAN bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran yang memusnahkan dua rumah berstruktur tidak kekal di Jalan Sultan Tengah, Kampung Buntal. Foto JBPM

Kebakaran berjaya dikawal pada 4.30 petang sebelum dipadamkan sepenuhnya, dan operasi ditamatkan pada 4.48 petang.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.

Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Pandi Seh dengan kekuatan 14 anggota serta sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi bagi membantu mengawal keadaan.

Oleh Shikin Mahmud

Kuarters sekolah lama musnah 100 peratus dalam kebakaran

BEKENU: Sebuah kuarters Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar Miri jenis tidak kekal satu tingkat yang sudah lama dan tidak berpenghuni musnah 100 peratus dalam kebakaran di sini hari ini. Bangunan berukuran kira-kira 30 x 20 kaki persegi itu terbakar sepenuhnya ketika pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah tiba di lokasi. Menurut kenyataan BBP Batu Niah, panggilan kejadian itu telah diterima pada 9.31 pagi dan sepasukan anggota bergegas ke lokasi sejauh 63 kilometer.  “Tiba di lokasi pada 10.30 pagi dan beberapa pekerja yang berada di lokasi turut berusaha memadam kebakaran menggunakan sumber air daripada paip berhampiran sementara menunggu ketibaan pasukan bomba. “Hasil pemeriksaan awal mendapati kuarters berkenaan merupakan bangunan lama dan usang serta tidak mempunyai sambungan bekalan elektrik selain tidak berpenghuni. “Pasukan Keluaran Operasi (PKO) BBP Batu Niah menjalankan penilaian awal sebelum melaksanakan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan air daripada pili bomba berhampiran,” kata kenyataan itu.  Katanya, pasukan bomba berjaya mengawal dan memadam kebakaran sepenuhnya sebelum operasi diteruskan dengan kerja-kerja pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi bahagian yang berpotensi menyebabkan kebakaran semula. “Pasukan turut memasang sawar keselamatan di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan dan keadaan disahkan selamat,” katanya lagi.  Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Turut berada di lokasi ialah dua anggota dari Balai Polis Bekenu bagi membantu kawalan dan keselamatan di tempat kejadian.