

BINTULU: Dua projek pembangunan pendidikan bernilai RM100.361 juta, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Samalaju dan Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Kaya Mohammad, diserahkan secara rasmi kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPNS) dalam majlis penyerahan projek di sini hari ini.
Majlis itu mencerminkan kerjasama antara JPNS dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam memperkukuh infrastruktur pendidikan negeri.
Jurutera Bahagian JKR Sarawak, Ir. Lau Sie Hung berkata, kedua-dua projek merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan dan masa depan anak-anak Sarawak.
Menurutnya, SMK Samalaju yang dibina pada kos RM57.618 juta oleh Empayar Setia Sdn Bhd dilengkapi 36 bilik darjah, 24 unit kuarters guru, dua blok asrama serta kemudahan sokongan lain bagi memenuhi keperluan pendidikan semasa.

“Sekolah ini amat signifikan memandangkan Samalaju berkembang pesat sebagai hab perindustrian dan ekonomi utama di Sarawak,” katanya.
Pada majlis sama, SK Orang Kaya Mohammad yang dibina pada kos RM42.743 juta oleh EPR (Kuching) Sdn Bhd turut diserahkan kepada JPNS. Sekolah yang ditubuhkan pada 1912 itu merupakan antara institusi pendidikan tertua di kawasan berkenaan dan kini dibina semula di tapak yang lebih sesuai dengan kemudahan moden.
Sementara itu, wakil Pengarah Pendidikan Negeri, Masnah Abang Abu Bakar berkata penyerahan kedua-dua sekolah itu membuktikan komitmen kerajaan dalam menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada semua murid.
Beliau berkata kemudahan moden yang disediakan dijangka meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran serta membantu melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.
Dalam perkembangan berkaitan, Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Samri Suhaili memaklumkan SK Orang Kaya Mohammad dijangka mula beroperasi dalam tempoh dua minggu selepas semua persiapan akhir diselesaikan.
Lau turut berkata kejayaan menyiapkan kedua-dua projek itu hasil kerjasama erat antara JPNS, JKR Sarawak, kontraktor, perunding dan agensi teknikal berkaitan, meskipun berdepan cabaran termasuk pandemik COVID-19, sekatan pergerakan dan peningkatan kos bahan binaan.
Oleh Faizah Muzidi