KUCHING: Dua petinju dari Pusat Pembangunan (PP) Tinju Sri Aman akan berentap pada Kejohanan Tinju Junior dan Bakat Kebangsaan 2025 yang akan diadakan di Pusat Latihan Tinju Kebangsaan, Kompleks Sukan MSN Nilai, Negeri Sembilan bermula 12 hingga 15 Februari ini.
Ketua jurulatihnya, Kamaruddin Mohammad berkata, dua petinju terbabit iaitu Muhammad Irfan Mohamad Ishak yang akan bersaing dalam kategori 54 kilogram (kg) dan Lazelrius Chung Guang Cheng (60 kg).
“Semestinya pihak kita telah menyasarkan kedua-dua petinju kita ini mara ke pusingan akhir dan saya percaya sasaran ini akan tercapai.
“Saya berharap kedua-dua petinju (Muhammad Irfan dan Lazelrius) bersiap sedia untuk memberikan aksi terbaik dan menjadikan kejohanan ini sebagai pentas untuk mempamerkan bakat mereka,” katanya.
Kamaruddin berkata beliau bersama empat jurulatih lain telah mempersiapkan persiapan latihan dua petinju itu sejak enam bulan lepas, dan beliau tetap yakin dengan kemampuan kedua-dua petinju itu walaupun bakal berdepan tugas mencabar kerana bakal berhadapan dengan petinju yang hebat dan berpengalaman.
“Inilah peluang terbaik kepada kedua-dua petinju muda kita, dan saya mahu mereka (petinju) memberikan aksi yang terbaik pada kejohanan itu nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Kamaruddin berkata pasukan tinju Sarawak telah menghantar seramai sembilan petinju untuk beraksi dalam kategori masing-masing dalam kejohanan yang berlangsung selama empat hari itu.
Antaranya ialah Elthonly Tensa (PE Kuching), Rayyan Absyar Bob Eirwan (PC Sibu), Dary Muhadzdzib Nordin (PC Sibu), Dominik Jampi (PE Kuching), Muhammad Irfan Mohamad Ishak (PP Sri Aman), Lazelrius Chung Guang Cheng (PP Sri Aman), Ryan Fabiano Maikclay (PP Kuching), dan Muhammad Afiq Hussein (PP Kuching).
Oleh Adi Safarman