SIBU: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) N.50 Machan menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada dua penduduk di kawasan berkenaan bagi membantu memudahkan pergerakan mereka dalam menjalani kehidupan seharian.
Sumbangan berkenaan disampaikan kepada Beku Ukam dari Rumah (Rh) Chua, Nanga Mam dan Abdul Aziz Mohd Zaki dari Rh Juckine Saing, Jagoi, Kanowit.
Menurut Pusat Khidmat ADUN N.50 Machan, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya membantu meringankan keperluan serta beban masyarakat setempat, khususnya golongan yang memerlukan sokongan mobiliti.
Pihaknya berharap bantuan berkenaan dapat memberi manfaat kepada kedua-dua penerima, selain meningkatkan keselesaan mereka serta keluarga.
Usaha sedemikian turut mencerminkan komitmen Pusat Khidmat ADUN N.50 Machan dalam memastikan kebajikan dan keperluan masyarakat di kawasan berkenaan terus diberi perhatian.
Oleh Akun Giman




