PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak sekali lagi menjadi Penaja Platinum Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) 2024 dengan tajaan sebanyak RM100,000 untuk Anugerah Utama dan kategori Ekonomi Digital.
Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) menerusi satu kenyataan berkata, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Shell Malaysia terus menjadi Penaja Emas KJA, masing-masing menaja RM50,000 untuk Anugerah Kewartawanan Kesejahteraan Komuniti, Anugerah Kewartawanan Kelestarian dan Anugerah Pelaporan Perniagaan dan Ekonomi.
Sementara itu, KDJA turut mengumumkan dua Penaja Emas baharu iaitu Press Metal yang akan menaja kategori Anugerah Pelaporan Berita dan Yayasan Peneraju, yang akan menaja kategori Anugerah Kewartawanan Penyiaran.
Penaja korporat tambahan termasuk Affin Bank, SEDC Energy, Citadel dan SOCOE.
Menurut Presiden KDJA, Ronnie Teo ketika menzahirkan penghargaan kepada para penaja, sokongan padu mereka mencerminkan dalam meningkatkan standard dan integriti landskap media di Sarawak.
”Komitmen mereka untuk memupuk kecemerlangan dalam industri kewartawanan Sarawak telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan standard dan integriti landskap media di Sarawak.
“Sokongan yang tidak ternilai daripada Kerajaan Sarawak, PETRONAS, Shell, Sarawak Energy Berhad, Yayasan Peneraju, Press Metal dan lain-lain telah membolehkan kami mengiktiraf dan meraikan kerja cemerlang wartawan kami yang berdedikasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Tambahnya, sokongan yang tidak ternilai itu juga bermakna bagi menghargai pencapaian pengamal media tetapi juga memberi inspirasi untuk meneruskan usaha mencari kebenaran, keadilan dan akauntabiliti dalam pelaporan mereka.
Selain itu, katanya, KDJA juga akan menawarkan tempat duduk semasa Anugerah Kewartawanan Kenyalang untuk dijual kepada sektor korporat atau swasta.
”Ini adalah peluang eksklusif untuk orang ramai di Sarawak datang dan menyaksikan sendiri anugerah sektor media Sarawak buat pertama kali dalam sejarah KJA, yang mana satu meja dengan 10 tempat duduk dijual pada harga RM5,000,” tambahnya.
Untuk sebarang info atau maklumat lanjut, hubungi Ronnie menerusi talian 016-8823110.
Anugerah KJA 2024 akan berlangsung di Kuching pada 14 Disember 2024 bertempat di Hotel Riverside Majestic, Puteri Wing.