
KUCHING: Dua pemandu ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi bersepadu yang dijalankan oleh Polis Daerah Padawan di Jalan Tan Sri Datuk Amar Wee Boon Ping, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Barry William, berkata operasi yang dijalankan bermula 10.00 malam hingga 4.00 pagi tadi itu bertujuan meningkatkan keselamatan jalan raya serta membanteras kesalahan lalu lintas, khususnya membabitkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

Menurutnya, sebanyak 43 kenderaan diperiksa dan 47 individu disaring sepanjang operasi selama enam jam itu.
“Sebanyak 38 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, manakala dua individu ditahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya.
Barry berkata Polis Padawan tidak akan berkompromi terhadap pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk kerana tindakan itu membahayakan nyawa sendiri serta pengguna jalan raya lain.

Beliau mengingatkan bahawa mereka yang disabitkan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan denda antara RM10,000 hingga RM30,000, penjara sehingga dua tahun serta pengendorsan lesen memandu.
“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan jalan raya. Jika anda telah mengambil minuman beralkohol, jangan memandu kerana nyawa anda dan pengguna jalan raya lain amat berharga,” katanya.
Oleh Connie Chieng




