MARUDI: Dua mangsa disahkan maut, manakala dua lagi masih hilang selepas sebuah perahu yang dinaiki mereka karam di Long Selatong, Sungai Baram, dekat sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan hari ini selepas pihak polis menerima laporan berhubung kehilangan empat individu terbabit.

Menurutnya, berdasarkan laporan polis, keempat-empat mangsa yang berasal dari Kampung Long Selatong dipercayai dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Long San menggunakan sebuah perahu pada 20 Julai sebelum gagal pulang ke rumah dan tidak dapat dihubungi.
“Penduduk kampung kemudian menemukan perahu yang dipercayai dinaiki mangsa dalam keadaan karam di Sungai Seperot,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, seorang kanak-kanak berusia empat tahun ditemukan meninggal dunia oleh orang awam sebelum mayat mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Long San.

Operasi SAR yang dijalankan hari ini menyaksikan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi bergerak ke lokasi pada 6.00 pagi dan tiba kira-kira 12.30 tengah hari selepas melalui laluan jalan balak.
Katanya, kira-kira 1.00 tengah hari, pihak bomba dimaklumkan penduduk kampung telah menemukan satu lagi mayat di tepi sungai, kira-kira dua jam perjalanan menaiki bot dari lokasi perahu karam.
“Pasukan bomba menggunakan bot milik penduduk kampung untuk ke lokasi penemuan sebelum membawa mayat keluar menggunakan pengusung. Pengecaman dibuat oleh ahli keluarga mangsa,” katanya.
Mangsa yang ditemukan meninggal dunia dikenal pasti sebagai Joshua Uken Mathew, 38, dan Jovian Jangin Joshua, 4.
Sementara itu, dua lagi mangsa yang masih belum ditemukan ialah Ceria Dullah, 43, dan Jonathan Nyurang Lusut, 45.
Operasi SAR diketuai Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Eric Unyi membabitkan tiga anggota bersama sebuah kenderaan Mitsubishi Triton dan diteruskan bagi mengesan baki dua mangsa yang masih hilang.





