
MARUDI: Dua lelaki masing-masing berusia 24 dan 46 tahun mengalami kecederaan pada bahagian dada dan bahu selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Miri–Marudi petang semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Leftenan (PA) Mirwan Shah Masri berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada 3.41 petang.
Menurut beliau, sebaik menerima panggilan itu, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marudi dari Skuad Charlie diketuai oleh Pelatih Bakal Tetap (PA) Beatric Kalang bersama tiga anggota lain bergegas ke lokasi kejadian yang terletak sekitar 49 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Marudi.
“Mereka tiba di lokasi pada 4.25 petang,” katanya.
Beliau berkata, setibanya di lokasi, anggota APM dimaklumkan kemalangan berlaku apabila pemandu lori cuba mengelak sebuah kenderaan pacuan empat roda di hadapannya yang dipandu seorang lelaki lain.
Katanya, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan orang awam sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan APM sementara menunggu ambulans tiba untuk membawa mereka ke Hospital Miri bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Oleh Jiku Juguong