LUNDU: Dua lelaki warga Indonesia melecur dalam insiden kebakaran yang memusnahkan rumah pekerja di PJP Pelita, Rimbunan Hijau, di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu, Muhamad Hazijul Abdul Mujun berkata, kedua-dua mangsa berusia dalam lingkungan 20-an telah melecur tahap satu.
Menurutnya, mangsa yang dikenali sebagai Ayub Hulabarat, 22, melecur di bahagian kaki kanan dan belakang dan Muhammad Rezeki, 20, mengalami sesak nafas dan melecur di kedua-dua bahagian kaki.
Terdahulu, katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada 6.45 petang sebelum menggerakkan sepasukan anggota dengan kekuatan seramai 11 orang dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu ke lokasi.
”Setibanya di lokasi yang terletak 37 kilometer dari balai, Komander Operasi (KO) memaklumkan kebakaran melibatkan sebuah rumah pekerja struktur jenis tidak ekkal setingkat enam pintu telah musnah terbakar 100 peratus.
”Tindakan pemadaman terus dilakukan menggunakan satu aliran 400 kaki ‘relay pumping’ dari sumber air terbuka menggunakan pam angkut dan satu aliran 200 kaki, dua nozel air dari jentera,” katanya.
Menjelas lanjut, katanya kedua-dua mangsa yang melecur kemudian diberikan rawatan awal oleh petugas perubatan.
Ujarnya lagi, kebakaran berjaya dikawal pada 9.00 malam, manakala punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 10.20 malam setelah pasukan keluaran operasi memastikan kawasan kembali selamat.