KUCHING: Dua lelaki maut manakala seorang wanita cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Bau-Lundu di sini Kira-kira jam 7.56 pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba (PGO) Bomba berkata, dua mangsa lelaki yang menaiki kereta jenis perodua kancil meninggal dunia di tempat kejadian dan disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, seorang wanita pemandu perodua kenari mengalami kecederaan di kepala dan diberi rawatan awal oleh pihak Pasukan Khas Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) Bomba sebelum diserahkan kepada pihak ambulans KKM untuk dibawa ke Hospital Lundu.
Katanya, kenderaan yang terlibat adalah Perodua Myvi, Perodua Kenari, Proton Saga dan sebuah lori treler.
“Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.
“Individu yang menaiki kenderaan Perodua Myvi, Proton Saga dan lori treler tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Oleh NICKELYSON LAKUN