

VIENTIANE, Laos: Pasukan penyelamat telah menghentikan operasi mencari dua lelaki yang terperangkap dalam sebuah gua separa tenggelam di Laos selama lebih dua minggu, selepas lokasi menjadi tidak stabil dan harapan untuk mereka terus hidup semakin tipis.
Tujuh penduduk kampung terperangkap di dalam gua di wilayah Xaysomboun, tengah Laos, pada 20 Mei apabila banjir kilat menutup laluan keluar ketika mereka memburu kelawar untuk makanan dan mencari emas di kawasan lombong lama, menurut media kerajaan.
Pasukan penyelamat berjaya menemui lima daripada mereka masih hidup seminggu kemudian, dengan seorang berjaya dikeluarkan oleh penyelam pada 29 Mei, manakala empat lagi dibawa keluar pada hari berikutnya selepas air di dalam gua berjaya dipam keluar dari ruang yang dinaiki air.
Dua lagi masih hilang walaupun usaha pencarian intensif dijalankan oleh pasukan penyelamat Laos dan antarabangsa.
Lee Kian Lie, seorang penyelam gua dari Malaysia yang menyertai operasi itu pada 28 Mei, memberitahu AFP bahawa operasi tersebut telah berakhir kerana risiko untuk meneruskan usaha menyelamat melebihi peluang kecil untuk menemui mangsa.
“Kami hampir berjaya. Paras air di dalam gua sudah berada pada tahap yang boleh dikawal, namun pintu masuk gua mula menjadi tidak stabil.
“Untuk meneruskan operasi ini adalah sangat berisiko. Pasukan akan terus mengawal paras air dengan mengepam serta menggali di titik-titik aliran keluar yang berpotensi bagi mempercepatkan pengaliran air. Mungkin masih ada keajaiban,” kata Lee.
“Semua orang telah mencuba. Kami telah mencuba. Saya memohon maaf kepada keluarga mangsa,” tambahnya.

Lee menyifatkan misi tersebut sebagai operasi penyelamatan paling berbahaya yang pernah dialaminya, dengan pasukan berdepan banjir, struktur gua yang tidak stabil, ruang sempit serta kualiti udara yang buruk.
Ketua penyelamat Thailand, Kengkad Bongkawong, berkata dalam satu hantaran media sosial hari ini bahawa tiada sesiapa dibenarkan memasuki gua kerana keadaan terlalu berisiko, namun operasi pengepaman air akan diteruskan di luar kawasan gua.
“Walaupun kita tidak mengetahui keadaan semasa kedua-dua individu itu, mengurangkan paras air di dalam gua merupakan langkah terbaik pada masa ini,” tulisnya di Facebook.
“Masih terdapat bekalan makanan dan keperluan kelangsungan hidup yang telah kami letakkan di beberapa titik dalam gua. Jika keajaiban berlaku, saya percaya mereka masih mempunyai peluang untuk keluar dengan selamat.”
Kengkad sebelum ini berkata aliran air hujan yang meningkat telah mengurangkan ruang menegak di dalam gua kepada sekitar 30 sentimeter (12 inci), separuh daripada ruang yang digunakan oleh pasukan penyelamat pada fasa awal operasi.
“Mulai hari ini, hujan akan menjadi semakin lebat,” katanya dalam hantaran hari ini.
Menjelang semalam, beberapa pakar gua utama termasuk penyelam Finland Mikko Paasi dan Yoshitaka Isaji dari Jepun telah meninggalkan lokasi operasi.
Lima mangsa yang terselamat ditemui dalam keadaan berhimpit di sebuah laluan sempit kira-kira 300 meter dari pintu masuk gua, dan mereka memaklumkan bahawa dua lelaki yang masih hilang itu memasuki gua secara berasingan. – AFP