Dua lelaki ditahan curi barangan Watson Bau bernilai RM49.80

Facebook
WhatsApp
DUA lelaki ditahan curi barangan Watson Bau bernilai RM49.80

BAU, 9 Oktober: Dua lelaki tempatan ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes kecurian barangan di kedai Watson cawangan Bau yang mengakibatkan kerugian RM49.80.

Kejadian itu dikesan pada 7 Oktober lalu sekitar 7.30 malam selepas penyelia kedai membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.

Hasil semakan mendapati seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar stok dipercayai mengambil beberapa barangan dari dalam kedai tanpa kebenaran.

Pemeriksaan lanjut terhadap stok di premis itu kemudian mendapati beberapa barangan hilang, dengan kerugian dianggarkan RM49.80.

Susulan siasatan, polis menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 46 dan 22 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

Polis turut mendapatkan semula tiga barangan yang dipercayai berkaitan dengan kes berkenaan untuk dijadikan bahan bukti.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haidebina Rahman berkata, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bau bagi permohonan reman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Polis memandang serius kejadian kecurian di premis perniagaan tanpa mengira nilai kerugian dan akan terus mengambil tindakan terhadap individu yang melakukan kesalahan,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Kejadian itu turut memperlihatkan peranan rakaman CCTV dalam membantu pihak premis mengesan kehilangan barangan serta membantu polis mengenal pasti suspek.

Oleh Masrin Affirah