Dua kontinjen raih pengiktirafan tertinggi BIKF 2026

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PESERTA perarakan memperagakan busana tradisional pelbagai etnik Sarawak pada pertandingan Kontinjen Perarakan sempena Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) 2026 di Pasar Lama Bintulu, hari ini.

BINTULU: Dua kontinjen mencuri tumpuan apabila masing-masing membawa pulang pengiktirafan tertinggi pada pertandingan Kontinjen Perarakan Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) 2026 yang berlangsung di Pasar Lama Bintulu hari ini.

OM Material Sdn Bhd diumumkan sebagai penerima Anugerah Semangat Kontinjen Terbaik atas komitmen dan persembahan bertenaga yang dipamerkan sepanjang perarakan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Bintulu pula dipilih sebagai penerima Anugerah Pilihan Juri selepas berjaya menampilkan persembahan kreatif dan unik yang memenuhi kriteria penilaian panel hakim.

KEUNIKAN warisan budaya etnik terserlah apabila peserta mengenakan busana tradisional lengkap dengan hiasan kepala, aksesori etnik dan perisai semasa pertandingan Kontinjen Perarakan Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) 2026 di Pasar Lama Bintulu, hari ini.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datu Muhamad Yakup Kari.

Pertandingan itu membabitkan 22 kontinjen dengan penyertaan seramai 655 peserta daripada agensi kerajaan, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kelab dan persatuan yang berarak sejauh 1.5 kilometer dari Kemena Plaza Hotel ke Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu.

Perarakan tersebut merupakan antara acara utama BIKF 2026 yang berlangsung dari 22 hingga 26 Julai, sekali gus menyemarakkan suasana festival yang menghimpunkan penyertaan peserta layang-layang dari 19 negara.

Oleh Carolyne Utih