
SARATOK: Dua kenderaan dihempap sebatang pokok tumbang berhampiran Tokong Cina di sini semalam, namun tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu, semalam.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 9.37 pagi sebelum tiga anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, pasukan APM tiba di lokasi sekitar tiga minit kemudian dan mendapati sebatang pokok tumbang menghempap dua buah kenderaan milik orang awam.

Menurutnya, operasi pembersihan dimulakan selepas ketua skuad mengesahkan keadaan lokasi selamat serta memastikan semua anggota memakai peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap.
“Anggota kemudian menggunakan dua unit gergaji berantai untuk memotong dan mengalihkan pokok yang menghalang kenderaan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Nur Athirah berkata, operasi berjaya diselesaikan pada 9.54 pagi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kenderaan hanya mengalami kerosakan kecil dan tiada mangsa cedera dalam kejadian tersebut.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan meletakkan kenderaan di kawasan berhampiran pokok besar terutama ketika cuaca tidak menentu bagi mengurangkan risiko kejadian seumpama itu berulang.
Oleh Adi Safarman