SARATOK: Masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka bakal mendapat dua gelanggang gasing apabila pembinaannya sedang rancak dilaksanakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Datuk Abdul Wahab Aziz berkata, seperti yang dijanjikan pada tahun lalu bahawa DUN Kalaka akan mendapat dua gelanggang gasing itu, bakal jadi kenyataan dalam masa terdekat.
“Penduduk di kawasan DUN Kalaka akan mendapat dua buah gelanggang gasing yang memperuntukkan peruntukan berjumlah RM40,000 untuk membinanya.
“Melihatkan perkembangan semasa permainan gasing itu begitu popular di daerah ini sejak baru-baru ini, saya dengan itu bersetuju untuk membina dua buah gelanggang gasing yang masing-masing yang terletak di Kampung Melango dan Kampung Tanjung,” katanya semasa melakukan tinjauan pelaksanaan membina dua gelanggang gasing di sini semalam.
Abdul Wahab berkata dua buah gelanggang gasing yang memperuntukkan sejumlah RM20,000 bagi sebuah gelanggang itu dilaksanakan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Kalaka 2020.
“Dengan siapnya gelanggang ini kelak, saya berharap golongan belia di daerah ini meneruskan usaha untuk memartabatkan lagi permainan tradisional seperti pangkah gasing ini ke peringkat yang lebih tinggi, sekali gus mampu menjadikan kawasan Kalaka sebagai identiti serta destinasi permainan gasing terkenal,” katanya.
Abdul Wahab berkata, permainan tradisional yang kian dilupakan seperti gasing pangkah ini mampu menyemai semangat cintakan warisan budaya di samping dapat memberi pendedahan tentang kehebatan permainan rakyat.
“Permainan yang menjadi identiti semakin dipinggir masyarakat terutama generasi muda berikutan perkembangan pesat teknologi maklumat yang membuka ruang peningkatan permainan moden di alam maya yang membuatkan mereka lebih menjiwai permainan berasaskan komputer dan digital,” ujarnya.
Abdul Wahab berkata, keunikan permainan tradisional itu secara tidak langsung melahirkan pemain muda yang berbakat dan mampu diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
“Program ini turut memberi ruang dan peluang kepada masyarakat khususnya di daerah Saratok merasai kembali keseronokan bermain permainan tradisional.
“Secara tidak langsung, kita berada pada landasan yang betul untuk memartabatkan kembali permainan tradisional kepada masyarakat,” ujarnya.
Beliau berkata, ia sekali gus juga dapat mengelak remaja dan belia daripada terjebak dengan gejala tidak sihat malah dengan adanya pengetahuan bermain permainan tradisional seperti gasing membolehkan seseorang itu menyertai pertandingan yang dianjurkan nanti.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Saratok, Kaunselor Mohamad Duri dan Kaunselor Khairul Aziz Abdul Wahab
Oleh Adi Safarman