KANOWIT: Seorang tersepit manakala seorang lagi cedera ringan selepas lori yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan kendiri di hadapan Rumah Margeret Jalan Lukut Penyulau dekat sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan terbabit kira-kira jam 3.37 petang.
“Sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit diketuai Pegawai Bomba Kanan II Badrulhisham Mohamad bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berkenaan.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan kendiri melibatkan sebuah lori 3 tan dan pemandu berusia 25 tahun cedera ringan, manakala kelindan berusia 32 tahun tersepit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas, bagi merenggangkan lokasi yang tersepit.
“Setelah berjaya dikeluarkan, mangsa seterusnya diserah kepada pihak hospital,” katanya.
Gambar
Mangsa tersepit berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan diserah kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut.