KUCHING: Dua individu mengalami kecederaan ringan selepas motosikal yang dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan kendiri di Batu 12, Jalan Tenne Richen, di sini, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.23 pagi.
Menurutnya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan bersama sebuah Jentera Bomba Penyelamat (FRT) dan sebuah Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah motosikal yang terbakar 100 peratus akibat kemalangan kendiri.
“Bagaimanapun, kebakaran telah padam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kemalangan itu melibatkan dua mangsa, masing-masing seorang lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa.
Katanya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan ringan dan diberikan bantuan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Rafiq Hussin itu ditamatkan sepenuhnya pada 8.35 pagi.





