Dua cedera parah selepas kereta api tergelincir di tenggara England

Facebook
WhatsApp
GERABAK kereta api yang tergelincir kelihatan terbalik berhampiran bandar Lewes, selatan England pada 13 Ogos 2026. Foto AFP

LONDON, United Kingdom: Dua mangsa dikejarkan ke pusat trauma utama selepas mengalami kecederaan “parah” apabila sebuah kereta api komuter yang sesak tergelincir berhampiran bandar Lewes di tenggara England, menurut perkhidmatan kecemasan.

Kira-kira 150 penumpang berada di dalam kereta api yang bertolak dari Stesen Victoria London sebelum tergelincir keluar dari landasan sejurus sebelum 4.00 petang menurut perkhidmatan ambulans.

Rakaman dari tempat kejadian menunjukkan sekurang-kurangnya tiga gerabak terbalik dengan anggota paramedik berada di lokasi. Punca kejadian masih belum diketahui.

FOTO kandungan jana pengguna (UGC) yang dimuat naik oleh pengguna Laura Arnold @ladyrose1983 di platform X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter, pada 13 Ogos 2026 menunjukkan anggota perkhidmatan kecemasan berada di atas gerabak kereta api yang tergelincir berhampiran bandar Lewes, selatan England. Foto AFP

Timbalan Ketua Pegawai Paramedik, Michael Bradfield, berkata pada taklimat media bahawa terdapat “pelbagai jenis kecederaan” dalam kalangan 20 individu yang dibawa ke hospital. Daripada jumlah itu, dua mangsa “dikategorikan mengalami kecederaan parah dan dibawa ke pusat trauma utama”.

Ian Drummond-Smith dari Polis Pengangkutan British berkata “insiden besar” telah diisytiharkan, namun semua penumpang di dalam kereta api berkenaan “berjaya dipindahkan dengan selamat”.

Kemalangan itu membabitkan kereta api Southern Rail yang menghubungkan kawasan di selatan London dengan ibu negara berkenaan.

Pengarah laluan Network Rail bagi Sussex, Lucy McAuliffe, berkata pihaknya “bekerjasama rapat dengan Cawangan Siasatan Kemalangan Kereta Api yang berada di lokasi untuk menentukan perkara sebenar yang berlaku”.

Kemalangan kereta api, khususnya yang mengakibatkan kematian, agak jarang berlaku di Britain.

Seorang pemandu kereta api maut dan puluhan orang cedera apabila dua kereta api bertembung di utara London pada Jun.

Empat orang mengalami kecederaan ringan dalam kejadian kereta api tergelincir akibat tanah runtuh yang dilaporkan berlaku di kawasan terpencil di barat laut England pada November lalu. – AFP