KUALA LUMPUR: Dropee, pasaran e-dagang perniagaan ke perniagaan (B2B) telah bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) untuk melancarkan inisiatif Go-Digital bagi memastikan pengagihan barangan asas seperti beras, daging, ikan, sayuran dan buah-buahan di seluruh Malaysia terkawal serta mencukupi semasa tempoh Covid-19.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lennise Ng berkata, inisiatif ini menyediakan saluran jualan alternatif untuk pengeluar dan pembekal di seluruh negara menjual secara pukal dalam talian sambil menikmati akses kepada bantuan logistik, pembiayaan dan insurans daripada rakan kongsi utama Dropee.
“Sejak 2017, kami telah membantu banyak perniagaan di seluruh Malaysia untuk membolehkan mereka menjual produk secara pukal melalui pendigitalan. Kami yakin mampu melaksanakan tanggungjawab ini dalam usaha membantu petani, nelayan dan pembekal memasuki dunia digital,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan Aizat rahim berkata, pasukan Dropee juga akan menyediakan bimbingan kepada pembekal, bermula daripada menubuhkan kedai B2B dalam talian sehingga kepada pemasaran produk.
“Kami faham banyak pengeluar dan pembekal memerlukan bantuan dalam pengetahuan teknikal untuk memasarkan perniagaan mereka secara dalam talian. Itulah sebabnya kami telah mencipta panduan yang sangat terperinci dan senang diikuti mereka,” katanya.
Disasarkan untuk pelancaran pada 8 Jun, objektif utama Go-Digital bertujuan membantu pengeluar dan pembekal mengekalkan pengedaran yang stabil membabitkan bekalan makanan dan akses kepada produk yang selamat, berkualiti dan mampu milik untuk semua komuniti di Malaysia dengan memanfaatkan pasaran B2B Dropee. – Bernama