KUCHING: Rakyat di Sarawak mesti memastikan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mendapat kekuatan maksimum pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini untuk memastikan suara anak Sarawak lantang di Parlimen.
Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dato Sri Dr. Sim Kui Hian berkata, jika diberi mandat untuk menang semua 31 kerusi, GPS mampu bersuara semaksimum mungkin kepada Kerajaan Persekutuan untuk menuntut segala hutang terhadap Sarawak dan semua hak yang patut diterima oleh rakyat Sarawak.
“GPS yang lemah adalah umpama suara yang lebih lemah untuk Sarawak menuntut hak rakyat Sarawak dalam Kerajaan Persekutuan,”katanya dalam kenyataan media bagi mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Chong Chieng Jen yang juga calon kerusi Parlimen Stampin.
Chong sebelum ini meminta rakyat Sarawak supaya tidak memberi kuasa mutlak kepada GPS, sebaliknya mengukuhkan sistem semak dan imbang.
Dr Sim membidas kenyataan Chong yang mahu agar rakyat Sarawak berhenti menyokong kepemimpinan GPS dan menjadikannya sebuah parti yang lemah adalah sama seperti kenyataan Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee, lima lalu.
Sebaliknya kata Timbalan Premier Sarawak itu, peristiwa dan rekod prestasi GPS sejak pembentukannya pada 2018 membuktikan bahawa blok kuat Ahli Parlimen GPS dalam Kerajaan Persekutuan telah membawa lebih banyak manfaat kepada Sarawak.
“Adalah wajar difahami oleh semua terutamanya Chong dan Voon bahawa kekuatan GPS adalah kekuatan suara anak jati Sarawak di peringkat Parlimen.
“Bilangan Ahli Parlimen yang lebih besar daripada GPS dalam Kerajaan Persekutuan telah, boleh dan akan membawa suara yang lebih kuat dan tegas dalam tuntutan hak Sarawak untuk semua rakyat Sarawak.
“Dengan kerajaan GPS yang kuat di Sarawak serta suara kuat dalam kerajaan sejak dua penggal lalu, kerajaan Sarawak dapat banyak manfaat,” katanya.
Antaranya, kata Dr Sim ialah berupaya membeli balik dan miliki sepenuhnya Empangan Hidro Bakun daripada Kerajaan Persekutuan dan hasilnya, warga Sarawak menikmati kadar elektrik dan air yang paling rendah di seluruh Malaysia.
Kedua, katanya, Sarawak menjadi bebas tol sepenuhnya pada 2016 dan mula menikmati Lebuhraya Pan Borneo bebas tol sepenuhnya yang akan memacu pembangunan serta ekonomi untuk beberapa dekad akan datang.
“Ketiga, menyimpana rizab negeri terbesar iaitu lebih RM30 bilion yang membolehkan Kerajaan Negeri menyediakan pakej bantuan terbaik dan paling komprehensif di Malaysia untuk membantu semua rakyat Sarawak sepanjang penularan pandemik Covid-19,” katanya.
Dr Sim menyatakan bahawa terbukti ia tidak menguntungkan Sarawak walaupun DAP dan PH memenangi lebih banyak kerusi di sini di sebalik memenangi Kerajaan Persekutuan.
“Kita telah menyaksikan bagaimana Chong dan Ahli Parlimen Sarawak tiba-tiba menjadi pemalu dan tidak bersuara apabila kerajaan PH dan ‘bos’ mereka Lim Guan Eng membuli Sarawak dengan membatalkan banyak projek pembangunan di negeri ini meskipun sudah dimasukkan dalam Bajet 2018.
“Mereka membatalkan peruntukan RM1 bilion untuk Sarawak. Mereka juga memaksa Sarawak membayar RM1 bilion terlebih dahulu kepada Kerajaan Persekutuan sebelum mereka mengeluarkan dana yang diperuntukkan untuk membaiki sekolah dalam bajet 2019.
“Mereka juga tidak menunaikan janji untuk mengembalikan 40 peratus hasil cukai dan 20 peratus bahagian royalti petroleum kepada Sarawak,” katanya.
Dr Sim berkata, Chong dan Ahli Parlimen Sarawak juga langsung berdiam diri dan menjadi pengecut apabila Guan Eng yang merupakan Menteri Kewangan ketika itu pada 2019 telah memfitnah dan menghina semua rakyat Sarawak dengan mendakwa Sarawak akan muflis dalam tempoh tiga tahun.
Katanya, tiada guna memberi undi kepada DAP dan PH.
Oleh CONNIE CHIENG