BUNDESLIGA JERMAN
TAWARAN rasmi pertama Manchester United untuk membawa Jadon Sancho kembali ke Liga Perdana Inggeris bernilai hingga 100 juta euro telah ditolak oleh Borussia Dortmund, lapor Sky Sports semalam.
Sancho, 20, telah menjadi sasaran perpindahan jangka panjang United ketika mereka ingin memperbaiki tangga ketiga Liga Perdana musim lalu dan mara ke separuh akhir Liga Europa, Piala FA Inggeris dan Piala Liga Inggeris.
Pemain antarabangsa England itu menyertai Dortmund dari Manchester City dengan harga yang dilaporkan 10 juta pound tiga tahun yang lalu, tetapi telah menyinar dalam Bundesliga untuk menjadi salah seorang bakat bola sepak paling hebat di Eropah.
“Tawaran awal 73 juta pound, naik hingga 91.3 juta pound, yang jauh dari penilaian 108 juta pound Dortmund,” kata laporan Sky.
Gergasi Jerman itu menegaskan bahawa Sancho akan kekal di Bundesliga untuk satu lagi musim setelah United gagal bersetuju dengan perjanjian menjelang tarikh akhir Dortmund pada 10 Ogos.
Sancho telah memulakan tiga perlawanan pembukaan Dortmund dalam kempen kali ini, tetapi tidak menyertai skuad untuk pertembungan Khamis ini dengan Bayern Munich dalam Piala Super Jerman kerana “jangkitan pernafasan”, kata kelab itu pada hari Selasa.
Dortmund mengesahkan Sancho telah diuji negatif untuk Covid-19.
Pemain sayap itu menjaringkan 20 gol dan melakukan 20 assist dalam semua pertandingan musim lalu.
United telah menghadapi kritikan daripada peminat kerana tidak menghabiskan lebih banyak wang dalam pasaran perpindahan dengan pesaing Liga Perdana Inggeris mereka semakin kuat.
Pemain tengah antarabangsa Belanda, Donny Van de Beek, yang tiba dengan harga 40 juta pound dari Ajax, merupakan satu-satunya pemain yang dibeli United setakat ini.
Pasukan Ole Gunnar Solskjaer juga mengalami permulaan musim yang buruk, kalah 3-1 di tempat sendiri kepada Crystal Palace dan memerlukan sepakan penalti pada minit ke-100 untuk mengalahkan Brighton 3-2 dalam dua perlawanan pembukaan Liga Perdana mereka. – AFP