KUCHING: Doktor dari Semenanjung yang bekerja di hospital swasta di negeri ini boleh memohon permit kerja lima tahun daripada Kerajaan Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia bagi memudahkan mereka bekerja dan tidak perlu memohon permit kerja itu setiap tahun supaya lebih ramai tenaga mahir bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak.
“Kita benarkan ini supaya golongan profesional boleh bekerja dan tinggal di Sarawak selama bertahun-tahun. Kita boleh buat ini kerana (urusan) imigresen di bawah Kerajaan Negeri,” katanya pada majlis makan malam Rangkaian Bersama Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) di sini, malam tadi.
Abang Johari berkata, pengeluaran permit kerja jangka panjang adalah inisiatif Kerajaan Negeri dan turut merangkumi semua sektor aktiviti ekonomi daripada perindustrian kepada perkhidmatan, termasuk sektor perubatan.
Beliau berkata, Sarawak turut mengalu-alukan bukan pakar perubatan Sarawak untuk berlatih atau bekerja di negeri ini selagi mereka memenuhi keperluan imigresen serta mendapatkan kelulusan dan lesen yang diperlukan daripada badan kawal selia berkaitan.
Katanya, ini selaras dengan dasar terbaharu Kerajaan Negeri untuk mengeluarkan permit kerja lima tahun untuk profesional atau ekspatriat asing yang datang bekerja di Sarawak.
Mengenai permintaan untuk melanjutkan tempoh visa pelancong perubatan yang diketengahkan Presiden APHM, Datuk Dr Kuljit Singh iaitu hanya 14 hari, beliau memberi jaminan akan memperbetulkan perkara itu kerana kebiasaannya Sarawak menyediakan visa tiga bulan untuk pelancong perubatan mendapatkan rawatan di Sarawak.
“Kita benarkan orang ramai datang ke Sarawak dan kebiasaannya kita akan beri visa tiga bulan. Saya tidak tahu mengapa hanya 14 hari (untuk pelancong perubatan). Saya akan membetulkannya, terutama bagi mereka yang mendapatkan rawatan perubatan,” katanya.
Terdahulu, Datuk Dr Kuljit Singh berkata beliau dimaklumkan pelancong perubatan hanya dibenarkan visa 14 hari dan berpendapat bahawa visa 30 hari akan berguna untuk rawatan lengkap.
“Ini akan mengelakkan kebimbangan kepada pelancong perubatan kami apabila kadangkala tempoh 14 hari terlalu singkat. Walaupun ia boleh dilanjutkan tetapi ini menyebabkan banyak kesulitan dan tekanan kepada pesakit dan hospital. Kami berharap perkara ini dapat diteliti,” katanya.