Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Di sebalik senyuman seorang ibu, tersimpan seribu pengorbanan
  • INSPIRASI

Di sebalik senyuman seorang ibu, tersimpan seribu pengorbanan

Utusan Sarawak 8 hours ago
SITI Dalilah Ibrahim, 51 tahun.

KUCHING: Di sebalik sekeluarga yang bahagia, pasti ada seorang ibu yang sanggup mengetepikan penat lelah, impian sendiri malah masa rehat demi memastikan anak-anak dan keluarga sentiasa cukup kasih sayang serta keperluan.

Sempena sambutan Hari Ibu, tiga wanita berkongsi kisah kehidupan mereka sebagai ibu dan suri rumah sepenuh masa yang sarat dengan cabaran, pengorbanan dan kasih yang tidak pernah berbelah bahagi.

Bagi Siti Dalilah Ibrahim, 51, sambutan Hari Ibu membawa makna besar kerana ia menjadi hari untuk meraikan dan menghargai semua ibu di dunia ini atas segala pengorbanan yang dilakukan demi keluarga.

Menurut beliau, menjadi seorang ibu pada masa kini bukan sesuatu yang mudah kerana banyak perkara perlu diuruskan dalam satu masa.

Katanya, cabaran terbesar yang sering dihadapi ialah mengurus keluarga dan anak-anak sambil memastikan rumah tangga berjalan lancar setiap hari.

“Kadang-kadang ibu ini kurang masa untuk diri sendiri dan berehat sebab banyak benda perlu difikirkan.

“Pada masa sama, kita kena sabar melayan kerenah anak-anak walau penat macam mana pun.

“Bukan itu sahaja, ibu juga perlu menyelesaikan banyak tugas rumah dalam satu masa selain memastikan kewangan keluarga diurus dengan baik,” katanya ketika berkongsi pandangan sempena Hari Ibu bersama Utusan Sarawak hari ini.

Bercerita mengenai pengorbanan terbesar yang pernah dilakukan demi anak-anak, Siti Dalilah berkata beliau sanggup bekerja siang dan malam walaupun keletihan demi memastikan anak-anak mendapat kehidupan dan pendidikan terbaik.

“Kita sebagai ibu memang akan utamakan anak-anak dahulu. Apa pun jadi, pendidikan mereka mesti dijaga.

“Dalam mengurus masa sebagai suri rumah, saya mengamalkan rutin menyusun tugas mengikut keutamaan selain menyediakan keperluan keluarga lebih awal termasuk pakaian dan makanan,” jelasnya.

Baginya, walaupun sibuk mengurus rumah tangga, masa bersama suami dan anak-anak tetap penting bagi memastikan hubungan kekeluargaan terus erat.

YONG Choi Foong, 50 tahun.

Sementara itu, Yong Choi Foong, 50, pula menyifatkan Hari Ibu sebagai hari untuk menghargai segala pengorbanan insan bergelar ibu yang selama ini menjadi tulang belakang keluarga.

Menurutnya, tugas seorang ibu bukan sekadar mengurus rumah, malah turut memainkan peranan besar dalam memastikan keluarga sentiasa kuat dari segi mental, emosi dan rohani.

“Bagi saya, ibu ini seperti ‘wonder woman’ sebab banyak benda dia boleh lakukan demi keluarga tercinta.

“Walaupun saya suri rumah sepenuh masa, menyediakan segala keperluan keluarga tetap menjadi tanggungjawab utama saya terutama untuk anak,” katanya.

Namun di sebalik senyuman seorang ibu, Yong mengakui perjalanan membesarkan anak-anak sebenarnya penuh cabaran dan berubah mengikut fasa kehidupan mereka.

Katanya, ketika anak masih kecil cabarannya berbeza, dan apabila meningkat remaja serta berjauhan daripadanya, kebimbangan seorang ibu juga semakin besar.

“Saya selalu fikir sama ada anak saya sudah makan, sihat atau sedang buat apa sekarang sebab kami berjauhan. Sebagai ibu tunggal, saya juga perlu kuat dari segi mental dan fizikal,” luahnya.

Mengimbau pengorbanan terbesar demi anak, Yong berkata beliau pernah bertungkus-lumus bekerja di kebun hanya untuk mencari wang bagi membiayai pelajaran anak sehingga berjaya seperti hari ini.

“Apa yang saya lalui hanya Tuhan sahaja tahu susahnya bagaimana. Tapi sebagai ibu tunggal, saya tetap cuba sediakan semua keperluan supaya anak saya tidak terasa kekurangan itu,” katanya penuh sebak.

Walaupun anaknya kini sudah bekerja dan banyak masa dihabiskan di rumah, Yong tetap menjalani rutin harian seperti biasa termasuk bangun awal mengemas rumah dan menyediakan makanan.

Selain menjaga anak saudaranya, Yong juga menghabiskan masa terluang di kebun terutama ketika rumah terasa sunyi apabila anak bekerja jauh.

Bagi Theresa Aggup, 52, Hari Ibu disifatkan sebagai hari istimewa yang dipilih untuk mengingati seorang ibu dalam setiap peranan yang dimainkan dalam kehidupan anak-anak dan ahli keluarga.

THERESA Aggup, 52 tahun.

Katanya, cabaran terbesar sebagai seorang ibu pada masa kini adalah sedaya upaya menjadi pembimbing sebaik mungkin dalam segala hal terutama dari segi rohani dan mental anak-anak tanpa mengganggu atau melampaui batas.

Menurutnya, sebagai ibu, keseimbangan itu penting kerana anak-anak juga memerlukan ruang untuk membesar dan belajar membuat keputusan sendiri dalam kehidupan mereka.

Theresa turut berkongsi bahawa pengorbanan terbesar yang pernah dilakukan demi anak-anak ialah melepaskan peluang bekerjaya selain mengejar minat dan hobinya sendiri demi memberi tumpuan kepada keluarga.

“Sebagai ibu, kadang-kadang kita perlu mengetepikan apa yang kita mahu demi memastikan anak-anak dan keluarga berada dalam keadaan baik,” ujarnya.

Dalam memastikan keperluan keluarga sentiasa terjaga, Theresa berkata beliau sentiasa mengutamakan rutin atau kerja yang lebih berkepentingan terlebih dahulu dalam pengurusan hariannya.

Baginya, pengurusan masa yang baik membantu seorang suri rumah memastikan segala urusan keluarga berjalan lebih teratur dan lancar setiap hari.

Walaupun setiap ibu melalui perjalanan hidup yang berbeza, satu perkara yang tetap sama ialah kasih sayang mereka yang tidak pernah bersyarat.

Di sebalik penat, air mata dan pengorbanan yang jarang diceritakan, seorang ibu tetap memilih untuk terus kuat demi melihat anak-anak membesar dengan sempurna dan bahagia.

Oleh Masrin Affirah

Continue Reading

Previous: Pengayuh basikal wanita Iran rentasi Asia secara solo, bawa mesej keamanan
Next: Selamat Hari Ibu, ibu ratu hatiku

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.