Dewan serbaguna Gereja Kai Nguong Methodist perkukuh kemudahan komuniti Meradong

Facebook
WhatsApp
ADUN Meradong, Datuk Ding Koung Hiing merasmikan Dewan Serbaguna Gereja Kai Nguong Methodist, semalam. Foto Pusat Khidmat Meradong

BINTANGOR: Kemudahan masyarakat di Meradong terus diperkasakan menerusi pembinaan Dewan Serbaguna Gereja Kai Nguong Methodist bernilai RM300,000 yang kini siap sepenuhnya untuk kegunaan gereja dan komuniti setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, dewan tersebut dibina menerusi peruntukan projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Meradong sebagai sebahagian usaha menyediakan kemudahan yang sesuai, selamat dan selesa kepada masyarakat.

“Dengan siapnya dewan serbaguna ini, pihak Gereja Kai Nguong Methodist kini mempunyai ruang yang lebih luas dan selesa untuk menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan, perhimpunan, program gereja, aktiviti belia, majlis komuniti serta pelbagai program kemasyarakatan.

“Kemudahan tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada warga gereja, malah turut berpotensi menjadi ruang yang dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan kerjasama dalam kalangan masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Dedikasi Dewan Serbaguna Gereja Kai Nguong Methodist, semalam.

Katanya, penyediaan dan penambahbaikan kemudahan masyarakat merupakan antara aspek penting dalam memastikan pembangunan di kawasan luar bandar terus diperkasakan.

“Kemudahan yang baik bukan sahaja meningkatkan keselesaan masyarakat, malah dapat menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti.

“Saya berharap dewan serbaguna Gereja Kai Nguong Methodist ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak gereja dan masyarakat, serta menjadi sebuah ruang yang dapat menyokong pelbagai aktiviti keagamaan, sosial dan kemasyarakatan pada masa akan datang,” katanya.

Koung Hiing turut menyampaikan penghargaan kepada kepimpinan dan jawatankuasa Gereja Kai Nguong Methodist, kontraktor serta semua pihak yang bekerjasama dalam memastikan projek tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar sehingga siap.

Oleh Earl Anek