Dewan perniagaan Bangladesh-Malaysia pilih presiden baharu

Facebook
WhatsApp
MOHAMMAD Anwar Shahid presiden BMCCI, Syed Moinuddin Ahmed setiausaha agung baharu.

HYDERABAD: Dewan Perniagaan dan Industri Bangladesh-Malaysia (BMCCI) telah memilih pemegang jawatan baharu bagi penggal 2026 hingga 2027.

Mohammad Anwar Shahid, Pengarah Urusan Shimex International Ltd, dipilih sebagai presiden badan perniagaan yang berpangkalan di Dhaka itu manakala Syed Moinuddin Ahmed, Pengarah Urusan GD Assist Limited, akan menggalas tanggungjawab sebagai setiausaha agung.

“Kepimpinan baharu yang dipilih ini bersedia memacu dewan ke arah memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala antara Bangladesh dan Malaysia,” menurut BMCCI dalam satu kenyataan.

“Saya amat berbesar hati dan merasakan tanggungjawab yang besar apabila memegang peranan sebagai presiden BMCCI. Sejak penubuhannya, BMCCI memainkan peranan penting dalam meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala antara Bangladesh dan Malaysia ke tahap lebih tinggi,” kata Anwar Shahid.

Beliau menggantikan ahli perniagaan berpengalaman Shabbir A. Khan sebagai presiden dewan itu.

Lembaga pengarah BMCCI yang baharu dibentuk itu terdiri daripada pemimpin industri terkemuka.

Pengarah Urusan Jaycee Shipping Agency Ltd, M.A. Bakar, dipilih sebagai naib presiden kanan, manakala Shaikh Bashir Ahmed Mamun, Ketua Pegawai Eksekutif Aero Speed International Limited dan Mohammad Arfatur Rahman, pemilik Arafat Motors and Machineries, dipilih sebagai naib presiden.

M. Mahmudur Rashid, Pengarah Urusan Grasshopper Corporation dan Mohammad Mamunur Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif EXPOPRO akan menjadi setiausaha agung bersama BMCCI, manakala Pengerusi WorldBD Trade Ltd, Ahmed Kabir dilantik sebagai bendahari. – Bernama

Kepulangan terakhir Koperal Chiu, keluarga iringi penghormatan terakhir

SIBU: Di sebalik kepulangan jenazah Koperal Chiu Teck Siong ke kampung halamannya hari ini, balu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mampu memikirkan masa depan lima anak mereka yang masih kecil, terutama soal pendidikan selepas kehilangan tonggak keluarga dalam tragedi renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, semalam. Tan Wei Wei, 39, berkata, keutamaan beliau ketika ini ialah memastikan kelima-lima anak mereka mendapat pembiayaan pendidikan yang mencukupi memandangkan mereka masih kecil. “Yang saya fikir sekarang ialah pendidikan masa depan mereka. Mereka semua masih kecil, sedangkan gaji suami bukanlah besar,” ujarnya ketika ditemui di Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima di sini, lewat petang tadi. Beliau berkata, lima anak mereka masing-masing berusia 11, 10, sembilan, tujuh dan empat tahun. Menurutnya, empat anak yang lebih besar bersekolah di SJK(C) Tung Hua, Sibu, manakala anak bongsu mengikuti pendidikan prasekolah di Tadika Sing Antong. Tan berkata, mendiang suaminya telah lama berhasrat untuk dipindahkan semula bertugas ke Sibu supaya dapat tinggal bersama keluarga, namun hasrat itu tidak kesampaian. “Memang sudah lama dia hendak berpindah balik ke sini, tetapi belum berjaya,” katanya. Beliau berkata, kali terakhir anak-anak dapat meluangkan masa bersama bapa mereka ialah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu. Koperal Chiu, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk mengambil kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, semalam. Jenazah beliau diterbangkan dari Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 5.50 petang. Van yang membawa jasad mendiang kemudian diiringi kenderaan polis serta ahli keluarga ke Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima. Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di dewan berkenaan pada 7.30 pagi esok sebelum mendiang dibawa ke Nirvana Memorial Park untuk upacara pembakaran. Abu mendiang kemudian akan disemadikan di Methodist Grace Memorial Park di Jalan Kemuyang. Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Ketiga-tiga mereka bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort. Oleh Akun Giman