SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pelaksanaan Program Dermasiswa B40 Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), khusus untuk pelajar B40 yang mengikuti pengajian dalam bidang tersebut di institusi pengajian tinggi awam bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun ini.
Ismail Sabri berkata program tersebut dilaksanakan bagi meningkatkan motivasi dan galakan kepada pelajar untuk memilih bidang TVET dengan melibatkan seramai 1,000 orang pelajar bagi pengambilan pertama.
“Kerajaan menjangkakan program ini melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM36.41 juta bagi setiap pengambilan,” katanya pada Majlis Perasmian Minggu TVET Negara 2022 di sini semalam.
Justeru beliau yakin program tersebut akan menawarkan lebih banyak peluang kepada anak-anak Keluarga Malaysia, terutamanya daripada kumpulan B40 mendapat akses pendidikan di peringkat lebih tinggi, seterusnya membina kerjaya dalam bidang TVET.
Beliau berkata TVET telah dikenal pasti sebagai satu daripada 14 pemacu perubahan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kerana sudah sampai masa TVET menjadi pilihan utama para belia dalam mempersiapkan diri mereka untuk masa depan sepertimana negara maju lain.
Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Faizal Azumu.
Pada majlis tersebut, Perdana Menteri turut mengisytiharkan 2 Jun sebagai Hari TVET Negara yang wajar disambut setiap tahun bagi menghargai sumbangan pelbagai pihak berkaitan TVET.
“Tarikh itu juga bersempena penubuhan Politeknik Ungku Omar, yang merupakan institusi penyedia TVET terawal negara sejak 1969,” katanya.
Ismail Sabri berkata selain pengisytiharan Hari TVET Negara, penganjuran Sambutan Minggu TVET Negara juga merupakan antara tindakan dalam Pelan Penjenamaan TVET Nasional.
Menurutnya keprihatinan kerajaan terhadap TVET diserlahkan dengan pembiayaan yang tinggi, iaitu 80 peratus penyedia TVET awam menawarkan program TVET secara percuma dan bagi tahun 2019 hingga 2021, sebanyak 171,412 program TVET di peringkat Diploma dan Sarjana Muda telah ditawarkan.
Perdana Menteri berkata kesedaran orang ramai terhadap pekerjaan sektor TVET yang memerlukan kemahiran spesifik dan menawarkan sumber pendapatan tinggi sudah meningkat tetapi belum mencapai tahap yang disasarkan.
Katanya anjakan paradigma mesti dilakukan bagi meningkatkan persepsi positif dengan sokongan ibu bapa, belia dan industri terhadap TVET. – Bernama