KUCHING: Kumpulan Dendang Romuder bakal memanaskan pentas Sound Of Borneo sempena Festival Waterfront Kuching pada 27 Oktober ini di Pentas Kesenian Square Tower Tebingan Sungai Kuching, 8.00 malam.
Dendang Romuder mengakui berasa teruja untuk memeriahkan pentas Sound Of Borneo dengan menampilkan seleksi lagu gabungan elemen tradisional menerusi sentuhan moden yang segar.
“Ini merupakan pertama kali Dendang Romuder tampil mengadakan persembahan dengan formasi baharu. Sebelum ini banyak mengadakan persembahan di Kuala Lumpur dan terkini Fauziah dan Firlany di Kota Kinabalu.
“Kali ini kami muncul dengan Fauziah Gambus merupakan penyanyi dan pemain gambus terkenal negara, Firlany Malik (accordian dan seruling), Ainal Johari (perkusi) dan Fera Ikmal (penyanyi),” jelas pemimpin Dendang Romuder, Dr. Kamil.
Tambahnya, menjadi satu penghormatan bagi mereka beraksi di pentas Sound Of Borneo sekali gus menghiburkan penonton.
Katanya, ia juga bakal memberikan makna bagi mereka dengan menampilkan lagu-lagu tradisional, sekali gus akan mengubah langskap pentas persembahan yang didominasi genre moden.
“Ada sebab saya berkata begitu kerana mereka sangat berpengalaman dan mempunyai nama besar dalam bidang ini. Fauziah Gambus, selain daripada nyanyiannya yang luar biasa, dia juga seorang pemain gambus wanita terkemuka di Malaysia.
“Dia terkenal menyanyi sambil bermain gambus dan pernah muncul dalam program TV Indosiar. Dia pernah menerima pelbagai anugerah muzik dan telah mengadakan jelajah di Eropah dan Australia.
Beliau menambah, selain Fauziah, turut berpengalaman dalam Dendang Romuder ialah Firlany Malik selaku pemain accordian dan seruling.
Katanya, Firlany seorang pemuzik yang serba boleh, komposer dan pengubah muzik yang mahir bermain lebih daripada 25 alat muzik tradisional dan moden.
“Dia telah membuat persembahan dalam acara TV utama seperti Anugerah Juara Lagu, Duo Star, Akademi Fantasia, dan mewakili Malaysia dalam acara di seluruh Asia dan Timur Tengah, termasuk Pertunjukan Fesyen Fancy Islam Doha 2013 di Qatar,” jelas Dr. Kamil.
Ainal Johari pemain perkusi memulakan perjalanan muziknya pada usia tujuh tahun dan kemudiannya menamatkan pengajian di Aswara Kuala Lumpur dengan diploma dalam muzik.
Bakatnya berkembang sebagai seorang pemain perkusi profesional. Kerjaya muziknya telah membawanya dalam jelajah ke Monaco, Indonesia, Malaysia, dan pelbagai destinasi lain.
Fera Ikmal, merupakan bakat baharu dunia muzik. Beliau pernah mengadakan persembahan bersama Ensemble Melayu Nusantara di Festival Muzik Hutan Hujan Dunia (RWMF) 2024.
“Kami berharap semoga persembahan Dendang Romuder diterima oleh golongan peminat generasi baharu,” jelas Dr. Kamil.