Dayangku Nohasiba Awang Tambi raih Anugerah Usahawan Cemerlang Gemilang Maju Jaya 2026

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
DAYANGKU Nohasiba Awang Tambi bergambar bersama trofi Anugerah Usahawan Cemerlang Gemilang Maju Jaya 2026 yang diraihnya baru-baru ini.

KUCHING: Kecekalan dan dedikasi dalam dunia perniagaan membuahkan hasil apabila usahawan tempatan, Dayangku Nohasiba Awang Tambi, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Usahawan Cemerlang Gemilang Maju Jaya 2026.

Pengiktirafan berprestij itu diberikan sebagai menghargai kecemerlangan beliau dalam bidang keusahawanan serta sumbangannya dalam membangunkan perniagaan yang berdaya saing dan memberi inspirasi kepada usahawan lain.

Anugerah Usahawan Cemerlang Gemilang Maju Jaya 2026 mengiktiraf individu yang menunjukkan prestasi cemerlang, inovatif dan berdaya tahan dalam mengembangkan perniagaan, di samping memberi impak positif kepada masyarakat dan ekonomi.

Dayangku Nohasiba berkata, anugerah yang diterima merupakan penghargaan bermakna terhadap usaha gigih yang dicurahkan sepanjang mengembangkan perniagaan.

“Saya amat bersyukur dan terharu menerima pengiktirafan ini. Anugerah ini bukan sahaja satu penghormatan kepada saya, malah merupakan hasil usaha seluruh pasukan, keluarga dan semua pihak yang sentiasa memberi sokongan sepanjang perjalanan saya dalam dunia perniagaan. Ia menjadi pembakar semangat untuk saya terus berusaha mencapai kecemerlangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak.

Beliau berkata, anugerah tersebut pemangkin untuk terus melangkah lebih jauh, meningkatkan mutu produk dan perkhidmatan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi menerusi bidang keusahawanan.

Beliau berkata, kejayaan tersebut membuktikan usaha yang disertai dengan disiplin, kesungguhan dan komitmen mampu membuahkan hasil yang membanggakan.

Pada masa sama, beliau berharap lebih ramai usahawan, khususnya wanita dan golongan muda, berani menceburi bidang perniagaan serta memanfaatkan peluang yang ada untuk mengembangkan potensi diri.

Mengimbas perjalanan kerjayanya, Dayangku Nohasiba berkata, beliau memulakan perniagaan secara kecil-kecilan berbekalkan minat yang mendalam terhadap bidang keusahawanan.

Menurutnya, pada peringkat awal, beliau banyak menimba pengalaman dengan menghadiri pelbagai kursus, mendapatkan bimbingan daripada usahawan berpengalaman serta sentiasa mencari peluang untuk meningkatkan pengetahuan.

“Hasil kerja keras, disiplin dan kepercayaan pelanggan, perniagaan yang bermula secara kecil-kecilan berjaya berkembang sedikit demi sedikit sehingga ke tahap hari ini,” katanya yang juga memegang Biro Chapter Sarawak Peniagawati Malaysia.

Beliau percaya kejayaan yang dikecapi berpunca daripada komitmen untuk sentiasa memberikan yang terbaik kepada pelanggan selain mengamalkan nilai kejujuran, integriti, kesungguhan dan kesediaan menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran.

Katanya, sokongan keluarga, pasukan kerja dan pelanggan turut memainkan peranan penting dalam setiap kejayaan yang diraih.

Menyentuh cabaran dalam dunia perniagaan, Dayangku Nohasiba berkata, persaingan yang semakin sengit serta perubahan keadaan ekonomi merupakan antara cabaran terbesar yang pernah dihadapinya.

Beliau berkata, cabaran tersebut diatasi dengan memperkukuh strategi pemasaran, memanfaatkan teknologi digital, meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan serta sentiasa mengambil kira maklum balas pelanggan.

“Saya percaya setiap cabaran adalah peluang untuk memperbaiki kelemahan dan menjadi lebih baik,” katanya.

Mengulas prinsip yang menjadi pegangannya dalam mengurus dan mengembangkan perniagaan, beliau berkata, amanah, kejujuran, disiplin dan komitmen terhadap kualiti merupakan asas utama yang tidak pernah dikompromi.

Menurutnya, kepercayaan pelanggan ialah aset paling berharga dalam sesebuah perniagaan, justeru setiap urusan perlu dilaksanakan dengan penuh integriti sambil menghargai pekerja, rakan niaga dan pelanggan sebagai sebahagian daripada keluarga besar perniagaannya.

Anugerah Gemilang Maju Jaya 2026 dianjurkan oleh Pengasas dan Pengerusi Penganjur, Dato Paduka Rehan Rahim.

Majlis penuh gilang gemilang itu disempurnakan oleh isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag di Pusat Konvensyen Antarabangsa (SICC) Sabah, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia yang juga Ahli Parlimen Mukah Dato Hanifah Hajar Taib.

Menganyam warisan, mempertahan identiti

SRI AMAN: Di sebalik setiap bilah buluh yang dianyam menjadi Ketapu Lanjang, tersimpan tekad seorang pengusaha untuk memastikan warisan masyarakat