KOTA KINABALU: Atlet muda Kelab Taekwondo Tunas Mukah, Dayangku Aleesya Hanan Awangku Hafizi mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih pingat emas pada Kejohanan Jemputan Terbuka Kebangsaan Persatuan Taekwondo Negeri Sabah (SSTA) 2026, hari ini.
Dayangku Aleesya Hanan muncul juara dalam kategori Lawan Bebas Individu Tali Pinggang Berwarna bagi peserta berusia lapan tahun ke bawah selepas mempamerkan aksi meyakinkan sepanjang pertandingan.
Dalam perlawanan akhir, atlet cilik dari Mukah itu berjaya menewaskan peserta tuan rumah sekali gus memastikan pingat emas menjadi miliknya.
Kemenangan tersebut menjadi pencapaian membanggakan buat Dayangku Aleesya Hanan yang berani berdepan cabaran daripada peserta lain dalam kejohanan peringkat kebangsaan itu.
Lebih membanggakan, kejayaan berkenaan turut mengharumkan nama Kelab Taekwondo Tunas Mukah serta Sarawak dalam kejohanan yang menghimpunkan penyertaan dari beberapa negeri.
Kejayaan Dayangku Aleesya Hanan meraih emas pada usia muda sekali gus menjadi permulaan positif dalam perjalanan sukannya dan diharap mampu menjadi pembakar semangat untuk terus meningkatkan prestasi dalam kejohanan akan datang.
Kejohanan yang berlangsung di Wisma Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabah itu diadakan selama dua hari bermula hari ini hingga esok. Seramai 369 peserta mengambil bahagian dalam kejohanan berkenaan, sekali gus menyaksikan persaingan sengit dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan.
Peserta kejohanan terdiri daripada atlet taekwondo dari Sabah, Perak, Selangor dan Sarawak yang hadir untuk menguji kemampuan serta pengalaman masing-masing.
Penganjuran kejohanan berkenaan turut menjadi antara platform penting dalam usaha mencungkil bakat baharu, khususnya dalam kalangan atlet muda yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Oleh Adi Safarman



