
KUALA LUMPUR: Datin Anita Azrina Abdul Aziz melakar sejarah menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
SIC dalam kenyataan hari ini memaklumkan Anita Azrina menggantikan Tan Sri Azman Yahya yang tamat perkhidmatan selepas mengetuai SIC sejak 2016.
Anita Azrina, seorang tokoh berpengalaman dengan lebih 30 tahun dalam sukan permotoran dan strategi korporat, dikenali sebagai peneraju utama penajaan global Petronas dalam Formula Satu bersama Mercedes AMG Petronas.
“Satu penghormatan besar untuk memikul tanggungjawab ini pada masa transformasi yang amat menarik.
“Saya berterima kasih kepada Tan Sri Azman Yahya atas kepimpinan cemerlang beliau dan berharap dapat bekerjasama dengan lembaga pengarah serta pasukan untuk membina SIC menjadi hab sukan permotoran dan inovasi global,” katanya dalam kenyataan itu.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengalu-alukan pelantikan Anita Azrina, sambil memuji pengalaman beliau dalam sukan permotoran dan kepimpinan jenama.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan Azman yang disifatkan sebagai berpandangan jauh, sekali gus berjaya mengangkat SIC menjadi destinasi sukan permotoran bertaraf dunia.
Sementara itu, Azman turut melahirkan rasa terima kasih kepada pasukan SIC yang diketuai bekas Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Razlan Razali dan Ketua Pegawai Eksekutif baharu Azhan Shafriman Hanif atas komitmen dan pencapaian yang membanggakan.
“Saya yakin Datin Anita Azrina akan membawa tenaga dan visi baharu untuk SIC,” katanya.
Azman menyertai Lembaga Pengarah SIC pada 2010 dan dilantik sebagai Pengerusi pada 2016, telah membawa SIC sehingga mendapat pengiktirafan global, termasuk menerajui usaha melanjutkan hak penganjuran MotoGP bersama Dorna Sports dan Kerajaan Malaysia, sekali gus mengekalkan Malaysia sebagai tuan rumah acara bertaraf dunia itu untuk tempoh 34 tahun.
Sementara itu, Azhan Shafriman berkata pimpinan Azman amat berharga, terutama semasa pandemik COVID-19, dan yakin kepimpinan Anita Azrina akan melonjakkan SIC ke tahap lebih tinggi. – Bernama