Dasar HBH: Penjawat awam layak kerja tiga hari di pejabat, dua hari di rumah mulai 1 Ogos

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
DASAR Hari Bekerja Hibrid (HBH) diperkenalkan sebagai norma kerja baharu dalam perkhidmatan awam bagi meningkatkan fleksibiliti serta kecekapan penyampaian perkhidmatan. Foto Bernama

PUTRAJAYA: Penjawat awam yang layak bakal bekerja secara hibrid, iaitu tiga hari di pejabat dan dua hari bekerja dari rumah (BDR) setiap minggu menerusi pelaksanaan Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) sebagai norma kerja baharu dalam perkhidmatan awam.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia memaklumkan pegawai yang layak diwajibkan hadir ke pejabat selama tiga hari seminggu manakala baki dua hari boleh melaksanakan tugasan secara BDR mengikut jadual yang ditetapkan.

Menurut pekeliling itu, negeri yang cuti hujung minggunya jatuh pada Sabtu dan Ahad, hari kehadiran wajib ke pejabat ialah pada Isnin dan Jumaat manakala bagi negeri yang bercuti pada Jumaat dan Sabtu, hari kehadiran wajib ialah Ahad dan Khamis.

Di bawah HBH, pegawai boleh bekerja di pejabat, rumah atau lokasi lain yang diluluskan oleh Ketua Jabatan dengan tempoh waktu bekerja kekal sembilan jam sehari termasuk waktu rehat.

Pelaksanaan dasar itu tidak lagi memerlukan pegawai mengemukakan permohonan atau menunggu arahan khas untuk BDR seperti amalan sebelum ini sebaliknya menjadi sebahagian daripada aturan kerja tetap bagi pegawai yang memenuhi syarat kelayakan.

Ketua Jabatan turut diberi kuasa menentukan pegawai yang layak menyertai HBH, mengarahkan pegawai hadir ke pejabat pada hari BDR sekiranya diperlukan atas kepentingan perkhidmatan serta menarik balik kelayakan HBH jika syarat yang ditetapkan tidak dipatuhi.

Bagaimanapun, HBH tidak melibatkan semua penjawat awam kerana perkhidmatan yang memerlukan kehadiran fizikal seperti kaunter, keselamatan, pertahanan, penguatkuasaan, pendidikan, kesihatan dan mahkamah akan terus beroperasi seperti biasa bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.

Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan, output kerja pegawai akan dikenal pasti dan direkodkan menerusi sistem SPOT-Me yang turut digunakan untuk merekodkan kehadiran pegawai.

Sebelum ini, JPA menerusi surat edaran bertarikh 20 Julai lepas memaklumkan kerajaan bersetuju melaksanakan Dasar HBH sebagai norma kerja baharu dalam perkhidmatan awam, iaitu sebahagian daripada agenda reformasi bagi memodenkan penyampaian perkhidmatan awam.

Maklumat lanjut mengenai dasar itu boleh dirujuk menerusi Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian SR.4.1.3: Dasar HBH yang boleh diakses di pautan: https://docs.jpa.gov.my/docs/myppsm/PPSM/SR/Waktu-bekerja/59/- Bernama