PUTRAJAYA: Peranan dasar cukai yang berkesan adalah penting untuk memupuk pertumbuhan dan kestabilan yang berterusan berdasarkan kepada kemajuan ekonomi, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.
Beliau berkata, hasil cukai adalah penting untuk menyokong perkhidmatan awam, pembangunan infrastruktur dan program sosial, yang mana ia merupakan asas kepada kemakmuran negara.
“Membangunkan sistem cukai yang cekap dan adil amat mencabar bagi negara seperti Malaysia yang sedang berintegrasi ke dalam ekonomi global.
“Sistem cukai yang ideal harus menjana hasil yang penting tanpa kerajaan meminjam secara berlebihan atau tanpa menggalakkan aktiviti ekonomi,” katanya dalam ucaptama di Forum Dasar Percukaian Malaysia keempat anjuran Institut Strategi Antarabangsa (ISI) di sini, hari ini.
Lim berkata, membangunkan sistem cukai yang cekap bukanlah mudah apabila melibatkan pekerjaan tidak formal dalam bidang pertanian atau perniagaan kecil dan tidak formal kerana pendapatan turun naik dan transaksi tunai mereka menyukarkan untuk mengira cukai pendapatan dan juga kebolehpercayaan data.
Ini kerana struktur tidak formal sistem kewangan dan kekangan kewangan menjadikannya mencabar untuk menjana statistik yang boleh dipercayai.
Beliau berkata kepentingan sistem cukai yang direka bentuk dengan baik dan ditadbir dengan berkesan tidak boleh dipertikaikan.
“Ketika kita terus membangunkan ekonomi, adalah penting untuk memastikan dasar cukai kita teguh dan adil bagi pertumbuhan yang mampan dan kestabilan sosial,” katanya.
Pada masa hadapan, Lim berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka disokong oleh perbelanjaan domestik yang berdaya tahan dan peningkatan dalam permintaan luar.
“Aktiviti pelaburan akan menjadi pemacu utama, didorong oleh kemajuan dalam projek-projek jangka panjang merentasi sektor swasta dan awam.
“Pelancaran inisiatif strategik yang digariskan dalam rancangan negara, ditambah dengan realisasi lebih besar bagi pelaburan yang diluluskan, akan memberikan dorongan tambahan untuk pertumbuhan,” katanya.
Lim berkata pada suku pertama (S1) 2024, ekonomi Malaysia berkembang pada kadar memberangsangkan kepada 4.2 peratus, meningkat daripada 2.9 peratus pada S4 2023, didorong oleh perbelanjaan swasta yang lebih kukuh dan pemulihan positif dalam eksport.
Beliau berkata dalam landskap digital yang berkembang pesat hari ini, transformasi ekonomi berlaku pada kadar yang menakjubkan, membentuk semula setiap aspek masyarakat, termasuk bagaimana mengendalikan cukai.
Lim berkata sebagai fungsi teras kerajaan, pentadbiran cukai mesti menyesuaikan diri dengan anjakan ini dan menerima teknologi digital bukan lagi satu kemewahan tetapi keperluan kritikal untuk menyelaraskan operasi.
“Apabila dilaksanakan dengan berkesan, kerajaan digital dan pentadbiran cukai digital boleh memacu pembangunan dan pertumbuhan yang mampan, memupuk kepercayaan dan kesejahteraan rakyat yang lebih besar. Ini amat penting untuk melindungi asas pendapatan kita dalam dunia yang sentiasa berubah,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Kehormat ISI Datuk Seri Dr Mohd Nizom Sairi berkata salah satu perubahan transformatif dalam bidang sistem kewangan ialah kemunculan invois elektronik (e-Invois) yang ditekankan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), dan ia merupakan langkah strategik untuk menyokong pertumbuhan ekonomi digital.
“Pengenalan sistem e-Invois di Malaysia adalah satu langkah ke arah mencapai cukai yang telus dan cekap dengan lebih tinggi,” katanya.
Mohd Nizom berkata satu lagi kemas kini penting dalam landskap cukai negara ialah perubahan dalam kadar cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan digital.
Berkuat kuasa 1 Mac tahun ini, kadar cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan yang disediakan oleh orang berdaftar asing (FRP) akan meningkat daripada enam peratus kepada lapan peratus.
Mohd Nizom berkata pelarasan ini menandakan usaha negara untuk mengekalkan rentak dalam perkembangan ekonomi digital.
“Ketika kita mengharungi peluang dan cabaran landskap global yang berubah dengan pantas, keperluan untuk rangka kerja dasar cukai yang teguh dan adaptif tidak pernah lebih mendesak.
“Kita mesti memastikan sistem cukai kita adil, cekap dan kondusif kepada daya saing ekonomi sambil menggalakkan kesaksamaan sosial dan kemampanan alam sekitar,” katanya. – Bernama