Dua sarang tebuan musnah dalam tempoh sejam

Facebook
WhatsApp
SARANG tebuan yang ditemui pada lampu sebuah rumah di Jalan Dato Permaisuri 5, Miri, dimusnahkan anggota BBP Lutong petang tadi.

MIRI: Dua sarang tebuan yang berpotensi mengancam keselamatan penduduk dimusnahkan anggota bomba dalam dua operasi berasingan di sekitar bandar raya ini, petang tadi.

Operasi pertama dilakukan di kawasan Tamu Lama Kuala Baram selepas Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong menerima panggilan pada 6.00 petang.

Ketua BBP Lutong, Henry Jugah berkata, pasukan tiba di lokasi pada 6.08 petang sebelum mendapati sarang tebuan berada di dalam sebatang pokok seperti dilaporkan.

“Pasukan menjalankan penilaian keselamatan sebelum bertindak memusnahkan sarang berkenaan menggunakan tiga tin racun serangga.

ANCAM KESELAMATAN…Sarang tebuan yang ditemui pada pokok di Tamu Lama Kuala Baram dan lampu sebuah rumah di Jalan Dato Permaisuri 5, Miri, dimusnahkan anggota BBP Lutong dalam dua operasi berasingan petang tadi.

“Operasi selesai pada 6.29 petang selepas kawasan berkenaan dipastikan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sekitar 14 minit selepas operasi pertama selesai, pasukan sekali lagi menerima panggilan mengenai sarang tebuan di sebuah rumah di Jalan Dato Permaisuri 5.

Katanya, jentera tiba pada 6.57 petang dan mendapati sarang tebuan berada pada lampu rumah.

“Pasukan sekali lagi menggunakan tiga tin racun serangga bagi memusnahkan sarang berkenaan.

“Operasi tamat pada 7.20 malam dan anggota kemudian kembali ke balai selepas memastikan keadaan selamat,” katanya.

Oleh Liong Chai Ling