Siap siaga fenomena El Nino: 606 pam kecemasan mudah alih ditempatkan di seluruh negara – JPS

Facebook
WhatsApp
FENOMENA El Nino. Foto hiasan. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Sebanyak 606 unit pam kecemasan mudah alih pelbagai spesifikasi telah ditempatkan di seluruh negara melibatkan aset Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan sedia digerakkan mengikut keperluan semasa bagi menghadapi fenomena El Nino.

Menurut JPS dalam satu kenyataan, langkah itu diambil sebagai sebahagian daripada tindakan kesiapsiagaan operasi di lapangan apabila paras air sungai atau empangan menurun ke tahap kritikal.

Aset pam mudah alih berkenaan berfungsi menyalurkan bekalan air ke kawasan pertanian, skim pengairan serta kawasan yang mengalami gangguan bekalan air, selain menyokong operasi pemadaman kebakaran hutan dan tanah gambut bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta agensi berkaitan.

“JPS turut menyelaras penggunaan aset secara bersepadu melibatkan aset Persekutuan, kerajaan negeri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), serta memperluas bantuan teknikal kepada Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dan agensi lain mengikut keperluan semasa.

“Program Penyelenggaraan Pencegahan (Preventive Maintenance) dilaksanakan secara berkala bagi memastikan semua pam mudah alih dan infrastruktur hidromekanikal berada dalam keadaan optimum sebelum kemarau bermula. Setiap permohonan bantuan diselaraskan oleh JPS dan aset boleh digerakkan ke lokasi terjejas dalam tempoh 24 jam,” menurut kenyataan itu. 

Kenyataan itu memaklumkan bahawa selaras dengan agenda pendigitalan sektor air negara, JPS menggunakan sistem Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data (SCADA) serta Sistem Penjejakan Pam untuk memantau operasi pam dan pintu air secara masa nyata, sekali gus membolehkan gangguan atau risiko kerosakan dikesan lebih awal serta mengurangkan risiko gangguan bekalan air ketika fenomena El Nino.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menerusi Tinjauan Cuaca Jangka Panjang yang dikemas kini pada 29 Julai lepas menjangkakan fenomena El Nino berterusan sehingga awal 2027.

Keadaan itu dijangka menyebabkan taburan hujan lebih rendah di beberapa kawasan di pantai barat, timur dan selatan Semenanjung Malaysia, bahagian tengah hingga barat Sarawak serta timur Sabah, sekali gus meningkatkan risiko kemarau dan tekanan terhadap sumber air negara.

Selain itu, JPS memaklumkan telah bertindak memantau 56 empangan di seluruh negara bagi memastikan kelancaran pengurusan sumber air secara bersepadu, pengairan pertanian dan tebatan banjir yang berteraskan wawasan Dasar Air Negara (DAN) dan Arahan NADMA No. 1 Tahun 2024.

Pemantauan berkenaan melibatkan empangan di bawah seliaan JPS, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) serta Bahagian Kawal Selia Air Negeri (BKSA) menerusi Portal InfoKemarau dan sistem Reservoir Information Management System (RIMS). 

“Pelepasan air empangan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan bekalan air untuk kegunaan domestik dan pertanian mencukupi serta keselamatan empangan terjamin. JPS turut bekerjasama dengan operator bekalan air negeri bagi memastikan operasi menara pengambilan air dapat dioptimumkan demi menjamin kesinambungan bekalan air kepada pengguna,” menurut kenyataan itu.

Di samping itu, Sistem Pengurusan Imbangan Air Negara (NAWABS) turut dibangunkan oleh JPS sebagai platform pengurusan imbangan air negara bagi membantu meramal risiko kemarau, dan menyokong tindakan mitigasi lebih awal dengan menghasilkan unjuran ketersediaan sumber air hingga dua bulan ke hadapan serta amaran awal hingga 14 hari.

Sistem NAWABS kini beroperasi di tujuh lembangan sungai utama, iaitu Lembangan Sungai Kedah, Sungai Muda, Sungai Bernam, Sungai Klang, Sungai Melaka, Sungai Kelantan dan Sungai Similajau, dan dijangka diperluas kepada 12 lagi lembangan sungai menjelang 2028.

“Maklumat NAWABS diperkukuh melalui Laporan Taksiran Sumber Air yang disediakan secara mingguan oleh JPS.

“Laporan ini mengandungi maklumat berkaitan kadar alir sungai, storan empangan dan perkembangan keadaan kemarau untuk dikongsikan kepada NADMA, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pengurusan tertinggi JPS serta JPS negeri,” menurut kenyataan itu.

Hasil maklumat itu menjadi rujukan penting dalam menentukan tindakan mitigasi seperti penyelarasan operasi pembenihan awan, hebahan awal kemarau serta perancangan pengurusan bekalan air di kawasan terjejas. – Bernama

WYF gesa kerajaan haramkan penjualan vape

MELAKA: Yayasan Belia Dunia (WYF) menggesa kerajaan mengharamkan penjualan vape di negara ini susulan peranti rokok elektronik itu dikenal pasti sering